Berita

Isu Karpal-Ramasamy sudah berakhir

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Isu perbalahan di antara Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Dr P. Ramasamy sengaja dibesar-besarkan oleh media massa kawalan Barisan Nasional walau pun ia sudah berakhir.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, beliau bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Penasihat DAP Dr Chen Man Hin telah bermesyuarat dengan Karpal semalam.

“Kita telah bersetuju bahawa episod terkini yang sedang dimainkan oleh media kawalan BN sudah pun berakhir.

“Saya menyeru agar semua ahli-ahli akan bersatu dan menumpukan perhatian kepada peluang bersejarah untuk membawa perubahan dan menyelamatkan Malaysia dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Menurutnya, semua pemimpin parti dan ahli harus bersatu-padu supaya musuh politik DAP dan Pakatan rakyat tidak mempunyai sebab untuk mengeksploitasikan keadaan, termasuk dengan menganjurkan demonstrasi terhadap DAP atau mana-mana pemimpin DAP. – Roketkini.com