Berita

Kerajaan Pulau Pinang minta layanan adil dan setimpal

Gambar ehsan

GEORGE TOWN, 21 MAC: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Perdana Menteri menuntut layanan adil dan setimpal dengan menambah peruntukan daripada RM2.88 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) kepada RM7.2 bilion.

Kerajaan negeri Pulau Pinang kesal bahawa hanya RM2.88 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 259 program/projek bagi RMK10 berbanding dengan RM6.54 bilion bagi melaksakan sebanyak 993 program/projek di bawah RMK9.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata bahawa oleh kerana RMK10 telah ditambah sebanyak 10 peratus berbanding RMK9, maka jumlah peruntukan untuk Pulau Pinang juga harus ditambah 10 peratus daripada RM6.54 bilion di bawah RMK9 kepada RM7.2 bilion di bawah RMK10.

“Kegagalan Kerajaan Persekutuan berbuat demikian akan dilihat sebagai tindakan terus meminggirkan rakyat Pulau Pinang atau diskrimanasi terhadap negeri Pulau Pinang hanya kerana rakyat negeri ini telah memilih secara demokrasi Pakatan Rakyat untuk memerintah Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kerajaaan Persekutuan harus ingat bahawa Pulau Pinang memberikan sumbangan signifikan dalam pembayaran cukai dan duti kepada Kerajaan Persekutuan.

Tambahan pula, Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan ke Malaysia dan Pulau Pinang.

“Ini ketara dibuktikan dengan pencapaian cemerlang Pulau Pinang menjadi jaguh pelaburan di Malaysia secara dua tahun berturut- turut dengan RM12.24 billion dalam tahun 2010 dan RM9.1bilion dalam tahun 2011,” tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau berkata, jika Kerajaan Persekutuan terus mengambil pendekatan diskriminasi yang tidak matang ini, ia hanya memakan tuan kerana yang rugi bukan sahaja Pulau Pinang tetapi juga Malaysia.

“Bak kata pepatah Melayu, marahkan seekor nyamuk habis kelambu dibakar,” tambah beliau.

Sementara itu, Guan Eng dengan rasa duka cita merakamkan ucapan takziah buat keluarga Timbalan OCPD George Town Supt Ahmad Bakhtiar Kassim yang telah meninggal dunia secara mengejut petang kelmarin.

“Allahyarham merupakan seorang pegawai polis yang sangat berdedikasi dan amat dihormati. Sepanjang perkhidmatannya di Pulau Pinang, saya memerhati bahawa Allahyarham selalu menjalankan tugasnya dengan tegas dan amanah tanpa rasa takut atau pilih kasih.”

“Sesungguhnya negara kita telah kehilangan seorang pegawai polis yang berani dan benar. Saya akan selalu mengingati dan menghargai jasanya yang tidak terhingga,” ujarnya.

Selain Ketua Menteri Pulau Pinang, kerajaan Pakatan Pulau Pinang bersama Roketkini juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Bakhtiar. – Roketkini.com