Berita

Lebih 40 tahun DAP perjuangkan gaji minima

KUALA LUMPUR, 21 MAC: DAP yang telah memperjuangkan isu gaji minima sejak lebih 40 tahun mahu pelaksanaannya dillakukan bersungguh-sungguh demi kepentingan pekerja, dan bukan melepaskan batuk di tangga.

Ahli Parlimen Seremban John Fernandez yang juga salah seorang pengasas DAP berkata, DAP telah dimomokkan dengan pelbagai tuduhan dan alasan oleh kerajaan Barisan Nasional apabila membawakan isu gaji minima ke Parlimen sejak lebih empat dekad.

“Dari dulu lagi kita memperjuangkan isu ini. Setiap kali kita bawa isu ini di Parlimen mereka kata akan buat itu, akan buat ini, akan buat jawtanakuasa komiti dan sebagainya, tapi apa pun tak jalan. Ini sememangnya bukan isu baru.

“DAP memperjuangkan isu ini selama lebih 40 tahun. Mengapa? Kita tidak mahu berlakunya kemiskinan dan penindasan. Kita sudah pun melangkaui tahun 2012 tapi masih ada masyarakat yang berpendapatan RM500 ke bawah sebulan.

“Tambahan pula sekarang ini kos hidup dan harga barangan semakin meningkat, macam mana mereka mahu hidup?” katanya kepada Roketkini.

Fernandez yang juga Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan menyatakan bahawa sekiranya tidak terdapat gaji minima, maka para pekerja akan dibayar sesuka hati oleh majikan dan tidak dapat menikmati taraf kehidupan yang baik dan selesa, apa tah lagi mewah.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kerajaan BN masih belum membuat pendirian yang jelas tentang isu ini.

Katanya, beliau pun hanya mendengar ura-ura bahawa gaji minima yang akan diperkenalkan mungkin di sekitar RM900 – RM1,200 yang hanya melibatkan sektor-sektor tertentu yang belum dipastikan lagi.

“Kita merasakan gaji minima itu penting untuk rakyat menikmati kualiti kehidupan yang sepatutnya dan hidup dalam keadaan yang terhormat.

“Ini amat penting agar para pekerja yang miskin tidak dapat ditindas oleh majikan yang boleh membayar mereka sesuka hati, tambahan pula mereka ini kebanyakannya tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, jadi mereka tidak mempunyai kemahiran khusus untuk menuntut gaji yang lebih adil daripada majikan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara  berkata, gaji minima harus diperluaskan kepada sebanyak sektor yang mungkin terutamanya mereka yang berkerja dalam sektor yang hanya memberi gaji bulan RM500 sebulan kerana kadar kemiskinan adalah di sekitar RM800 sebulan.

Menurutnya, DAP dan Pakatan Rakyat memang memperjuangkan gaji minima sebagaimana yang dijanjikan dalam Buku Jingga, iaitu RM1,200 sebulan untuk semua sektor, termasuk pekerja asing.

“Ini adalah untuk memastikan pekerja tempatan tidak didiskriminasi berbanding pekerja asing yang yang diupah dengan kadar yang lebih murah,” jelas beliau.

Katanya, pelaksanaan gaji minima juga akan menjana ekonomi negara kerana akan kaum pekerja akan mempunyai lebih kuasa membeli untuk keluarga mereka, dan ini akan merancakkan sektor perniagaan. – Roketkini.com