Berita

Surat Guan Eng kepada Lynas: “Dengarlah bantahan rakyat”

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

GEORGE TOWN, 22 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu Lynas Corporation menjelaskan secara langsung kepada penduduk-penduduk di Kuantan, Pahang yang terjejas dengan pembinaan loji nadir bumi.

Katanya, tidak ada gunanya Lynas cuba bertemu dengan beliau (Guan Eng) kerana penduduk-penduduk Kuantan yang menjadi pihak yang mempunyai kepentingan langsung dengan projek loji yang kontroversi itu.

“Saya tidak tahu bagaimana perjumpaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, dan bukannya penduduk-penduduk yang terjejas, boleh menjadi relevan atau penting dalam kontroversi ini,” ujar beliau.

Guan Eng menyatakan pendiriannya setelah menolak jemputan Lynas untuk bertemu dengannya melalui satu surat yang dihantar hari ini  kepada korporat perlombongan Australia itu.

“Sebagai seorang warga Australia, sudah tentu anda akan menghargai bahawa proses rundingan umum itu adalah sebahagian daripada demokrasi.

“Dalam semangat itu, Lynas harus mengumumkan bahawa mereka tidak akan meneruskan loji itu sekiranya mereka tidak dapat memuaskan kebimbangan teknikal dan juga keraguan penduduk-penduduk yang terjejas,” tambah beliau.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan bahawa sebelum ini beliau telah memberi maklum balas melalui media pada 6 Mac lalu untuk tidak menerima jemputan Lynas demi kepentingan penduduk-penduduk Kuantan.

Katanya, penduduk Kuantan merasa terjejas serta bimbang dengan kesihatan dan keselamatan mereka akibat operasi syarikat Lynas dalam pemprosesan nadir bumi.

Menurutnya, penduduk-penduduk Kuantan tidak faham bagaimana, walau pun pelbagai kebimbangan alam sekitar telah diutarakan, kerajaan Malaysia sanggup memberi pengecualian cukai kepada Lynas selama 12 tahun.

Malah, tambahnya, isu-isu mengenai tempat simpanan bahan-bahan sisa radioaktif belum lagi diselesaikan.

Beliau mempersoalkan bahawa hingga hari ini, belum ada kata putus sama ada sisa itu akan disimpan di kawasan tempatan atau dikembalikan kepada Australia.

“Sungguh pun begitu, ia harus ditegaskan bahawa tiada jumlah wang yang boleh menggantikan kesihatan kita dan anak-anak kita.

“Untuk sebab itu, kegagalan untuk berunding dengan pihak awam sebelum pembinaan loji dan langkah-langkah terdesak kerajaan Malaysia untuk menutup kebimbangan awam tentang isu-isu keselamatan dan kesihatan adalah amat menyedihkan.

“Tidak ada seorang pun yang percaya bahawa Lynas akan menghentikan pemprosesan nadir bumi apabila mereka sudah belanja sebanyak RM700 juta untuk pembinaan loji,” katanya.

Beliau mahu Lynas dan kerajaan Malaysia menjelaskan kepada rakyat, khususnya penduduk Kuantan, tanpa menyembuniykan sebarang fakta sebelum apa-apa perbincangan boleh diadakan. – Roketkini.com