Wawancara

10 minit : Bersama Anthony Loke – Reformasi pilihan raya

Wartawan Roketkini Fairuz Azhan menemu bual Ketua Pemuda DAP Anthony Loke membincangkan tentang proses reformasi sistem pilihan raya di Malaysia.

Apa isu-isu utama dalam sistem dan proses pilihan raya di Malaysia?

Sememangnya terdapat banyak isu kritikal seperti isu pendaftaran pemilih, konsep persempadanan semula kawasan pilihan raya, akses pada media yang dilihat tidak begitu telus dan tidak adil kepada pihak-pihak yang menyertai pilihan raya.

Baru-baru ini ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai penambaikan pilihan raya telah melawat ke United Kingdon. Kami dapati di UK mereka mempunyai sebuah jawatankuasa khas dalam persempadanan. Ini merupakan sesuatu yang kita tiada di sini, di mana persempadanan sebagai kawasan dibuat berdasarkan beberapa prinsip tertentu. Bilangan pengundinya harus seimbang antara semua kawasan.

Saya fikir bahawa PSC ini aktif dan saya berpuas hati terhadap pengurusan jawatankuasa ini. Dari segi komitmen, kami telah membuat 6 ‘public hearings’, mesyuarat setiap 2 minggu, jadi saya berpendapat bahawa komiti ini sangat aktif.

Adakah ini menunjukkan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional ke arah pilihan raya yang bebas dan adil?

Dari segi PSC ini, saya fikir kita telah melakukannya dengan sempurna. Tetapi keikhlasan itu bukan hanya tertakluk pada jawatankuasa ini. Keikhlasan itu harus dilihat pada pelaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jika jawatankuasa ini membuat syor-syor yang baik tetapi tidak diikuti oleh SPR, ia tidak menunjukkan keikhlasan. Bagi saya, yang penting adalah di peringkat pelaksanaan.

Tugas kita adalah untuk mendapat pandangan awam, dan mendapat syor-syor bagi memastikan ketelusan proses pilihan raya. Apa yang penting adalah pelaksanaan daripada SPR iaitu sebagai peneraju. Jika tiada susulan daripada syor yang kita buat, maka ia tidak akan mencapai apa yang diingini. Kita di PSC memang telah sepakat atas banyak perkara.

Pihak NGO Bersih telah mengemukakan 8 tuntutan. Setakat ini, adakah saudara berpuas hati dengan usaha kea rah pembaharuan?

Saya rasa memang kelapan-lapan tuntutan itu masih belum ditunaikan. Tetapi memang kelapan-lapan isu itu mendapat perhatian daripada PSC. Laporan akhir akan keluar April ini dan kita akan memainkan peranan agar syor-syor semua pihak dapat ditonjolkan dalam laporan akhir kita.

Ada ura-ura bahawa sekiranya tuntutan Bersih 2.0 tidak dilaksanakan, maka NGO tersebut akan melaksakan Bersih 3.0. Apa komen saudara terhadap perkembangan ini?

Itu terpulang kepada Bersih, saya fikir mereka ada hak untuk mengambil tindakan seterusnya. Kita lihat bahawa ini semua merupakan perkembangan sebuah masyarakat sivil dan mereka memainkan peranan yang penting. Ini semua terpulang pada Bersih. Jika mereka rasa mereka perlu perhimpunan yang lebih besar untuk menekan kerajaan, itu terpulang kepada mereka.

Dari segi PSC, sememangnya kita tidak boleh mencapai semua yang kita nak sebab ini sebuah jawatankuasa semua pihak atau bipartisan dan kita (Pakatan Rakyat) masih dalam minoriti. Dari 9 ahli, PR ada 3 ahli sahaja, jadi kita tidak akan mencapai segala apa yang kita mahukan.

Sebagai Ketua Pemuda DAP, apakah saranan saudara terhadap anak-anak muda untuk menyampaikan mesej perubahan?

Yang pertama sekali, ia adalah amat penting untuk mereka terlibat dalam proses pilihan raya. Itu adalah yang minimum. Jika anda tak terlibat, apa-apa yang diperkatakan tidak akan membuat perubahan. Perubahan itu hanya boleh dibuat melalui peti undi. Keputusan nak undi siapa, itu hak mereka, tapi yang penting sekali ialah mereka harus terlibat dalam proses tersebut.

Hingga kini, kerana sistemnya adalah kita kena daftar sendiri, maka kita hendaklah mendaftar sebagai pengundi. Terdapat berjuta-juta orang yang berumur atas 21 tahun tapi masih lagi tidak mendaftar. Di PSC kita sedang mengesyor pendaftar automatik. Tetapi sebelum itu terlaksana, anak muda harus proaktif. Kalau kita cakap macam-macam, komplen itu ini, tapi kita tidak menunaikan kewajipan kita sebagai rakyat, maka perubahan tidak akan berlaku. – Roketkini.com