Rencana

Najib takut kalah lagi di Perak – Oleh V. Sivakumar

Datuk Seri Najib Razak telah melakukan satu kesilapan besar dengan merampas kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat pada Februari 2009.

Dalam pilihan raya umum ke-12, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, DAP dan PKR untuk memerintah negeri Perak. Sejak 9 Mac 2008, Barisan Nasional telah cuba sedaya upaya untuk tumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Pelbagai taktik kotor telah direncanakan oleh Najib untuk mendapatkan semula negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Semua agensi-agensi kerajaan telah disalahgunakan untuk mencapai matlamat Barisan Nasional itu.

Akhirnya kerajaan pilihan rakyat telah ditumbangkan apabila 3 orang wakil rakyat berjaya ‘dibeli’ oleh Najib.

Perbuatan jijik hantui Najib

Perbuatan yang sungguh jijik itu merupakan kesilapan maha besar yang telah dilakukan oleh Najib. Beliau tidak sedar bahawa tindakan kejam itu boleh menghantui BN sehingga hari ini.

Rakyat Malaysia, khususnya  rakyat Perak sangat marah terhadap Najib, Zambry Abdul Kadir yang merebut kuasa sebagai Menteri Besar dan Adun-Adun ‘katak’ yang tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Perak melalui pilihan raya.

Mereka ini telah menderhaka kepada rakyat untuk kepentingan politik mereka. Golongan ini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak. Perbuatan mereka ini juga telah meruntuhkan kemurniaan sistem demokrasi di negara kita.

Najib menyangka rakyat Perak mudah lupa. Oleh yang demikian beliau berani merampas kerajaan Perak dengan menggunakan kekerasan  polis  dan  memanupulasikan mahkamah.

Tetapi, rakyat Perak tidak melupakan perisiwa hitam yang berlaku pada awal tahun 2009. Segala apa yang berlaku masih jernih dalam ingatan seluruh warga Perak.

Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak selama 11 bulan dengan cekap dan berkesan ditumbangkan kerana  ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Rakyat Perak kecewa kerana Pakatan Rakyat tidak diberi masa yang secukupnya untuk memerintah negeri dan membuktikan kewibawaannya.

Sebelum Pakatan Rakyat melaksanakan polisi-polisi yang dirancang untuk  rakyat Perak, BN telah menggulingkan kerajaan itu dengan cara yang terkutuk.

Rakyat Perak mahu melihat satu perubahan dalam pentadbiran negeri ini. Mereka telah menolak kerajaan BN dalam PRU12, tetapi BN kembali berkuasa melalui ‘pintu belakang’.

Rakyat bersedia untuk ajar BN dalam PRU13

Rakyat Perak bersedia untuk ‘ajar’ Barisan Nasional  dalam PRU13. Mereka sedang menunggu hari mengundi untuk mengembalikan kuasa rakyat. Najib dan konco-konconya sedar bahawa mereka telah  hilang kepercayaan rakyat Perak.

Najib tahu BN akan tumbang semula di negeri Perak. Kali ini BN akan hilang lebih banyak kerusi kerana tindakan zalimnya merampas satu kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Oleh kerana Najib takut akan kalah besar, beliau terpaksa ‘turun padang’ banyak kali di negeri Perak. Beliau melancarkan pelbagai program, mengadakan banyak jamuan makan  dan memberi wang ringgit untuk mengambil hati rakyat Perak.

Najib terdesak dan terpaksa memberi tumpuan  melampau di negeri Perak kerana beliau  sedar tentang kesilapan yang telah dilakukan olehnya.  Dalam ‘road show’ Najib , Perak merupakan negeri yang paling kerap beliau turun padang untuk bertemu dengan rakyat.

Ini membuktikan bahawa Najib kini takut kepada rakyat Perak yang sedang menanti untuk menghukumnya dalam PRU13.

Dulu beli ‘katak’, sekarang mahu beli rakyat

Kerajaan telah membuat pembayaran RM608.68 juta sepanjang tempoh 11 minggu kepada rakyat melalui lawatan rasmi Najib dan timbalannya Muhyiddin Yassin ke seluruh negara baru-baru ini.

Jumlah ini merupakan  ‘peruntukan segera’ yang diluluskan dari Januari hingga 15 Mac  yang telah diserahkan semasa lawatan mereka  berdua ke semua negeri, dengan Perak merekodkan kelulusan tertinggi sebanyak RM220.38 juta untuk 34 projek.

Lebih daripada 1/3 jumlah peruntukan segera itu  telah ditaburkan di negeri Perak. Jelas bahwa  Najib takut akan kalah teruk di negeri Perak dalam PRU13.

Beliau tidak perlu berbelanja besar di Perak jika BN benar-benar  mempunyai  keyakinan dan mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Dulu Najib membeli ‘katak-katak’ politik di Perak. Sekarang dengan konsep unggulnya ‘I help you, you help me’ beliau sedang bermati-matian untuk  membeli rakyat Perak pula. – Roketkini.com

Penulis adalah Adun Tronoh merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak