Rencana

RE-FOR-MA-SI : Tin kosong di tengah jalan? – Oleh Razan Rose

Reformasi. Satu perkataan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini terutama selepas 1998. Perkataan reformasi diambil daripada bahasa Inggeris iaitu reformation atau kata dasarnya reform.

Jika dilihat dalam konteks bahasa, reformasi membawa maksud pembaharuan atau penambahbaikan yang tidak radikal dan secara perlahan-lahan. Justeru, reformasi sama sekali bertentangan dengan revolusi yang membawa maksud perubahan secara radikal dan mengejut.

Jadi tidak hairan jika umum lebih toleran terhadap apa yang disebut sebagai reformasi itu sendiri dan menolak revolusi.

Mengapa Reformasi?

Umum mungkin tertanya-tanya. Mengapa Reformasi? Penulis juga begitu. Setelah mendapat sedikit pencerahan tempoh hari, baru penulis faham mengapa perkataan reformasi yang menjadi pilihan.

Reformasi mempunyai salasilah sejarah yang sangat panjang. Bermula seawal kurun ke-16, gerakan reformasi pertama kali dicetuskan oleh seorang reformis Eropah iaitu Martin Luther.

Beliau merupakan pencetus gerakan reformasi atau reformation yang menentang penguasaan dan kebobrokan gereja Katolik ortodoks yang telah menyalahgunakan kuasa dan agama pada ketika itu. Bertitik-tolak dari itu, muncul pula aliran baru dalam agama Kristian yang dinamakan Protestan.

Ia bukan soal agama. Ia soal pembaharuan dan pembaharuan semula. Jadi, perkataan reformasi merupakan perkataan yang paling sesuai kerana ia mempunyai asas dan fundamental yang kukuh berdasarkan sejarah.

Reformasi juga mempunyai konotasi yang melambangkan perjuangan untuk menuntut sesuatu yang lebih baik atau dalam konteks masa kini yang lebih popular, perjuangan rakyat menuntut hak.

Pemilihan istilah atau perkataan merupakan satu perkara yang sangat penting untuk menjadi wadah perjuangan sesuatu pihak. Istilah yang tidak punya makna yang jelas boleh mengakibatkan sesuatu perjuangan itu terbantut dek kecetekan yang ada pada maksud istilah itu sendiri.

Masalah Reformasi

Di sebalik laungan-laungan ‘Reformasi’ yang sering diazankan oleh para reformis, walau tampak bertenaga dan padu, hakikat masih terdapat kekurangan.

Ya, satu hakikat yang sangat menyedihkan yang sedang berlaku dalam kalangan penggerak Reformasi masa kini khususnya aktivis mahasiswa. Mereka terlalu taksub dan ghairah memperjuangkan apa yang mereka panggil sebagai Reformasi sehingga mereka terlupa untuk mencari makna di sebalik perkataan keramat itu.

Reformasi superficial yang dibawa oleh mereka seolah-olah hanya terhad di jalanan dan pelbagai forum yang tidak mempunyai elemen perbincangan yang mantap. Jadi tidak hairan lah jika masyarakat cenderung untuk mentafsirkan Reformasi itu sebagai demonstrasi.

Permasalahan yang berlaku ini sebenarnya berpunca daripada aktivis mahasiswa itu sendiri. Ramai aktivis yang tidak membaca (atau malas membaca) dan jika ada pun, bacaan yang dilakukan hanya semata-mata untuk menguatkan atau mengisi hujah-hujah mereka sedangkan kefahaman tentang bacaan itu amat kurang.

Ini satu penyakit yang serius dan semakin menular menjadi wabak. Pembacaan dan kefahaman perlu diperkuat dalam diri setiap aktivis mahasiswa sebelum mereka mula mencanangkan pembawaan mereka.

Satu soalan. Bagaimana anda mahu memahamkan orang lain tentang idea yang anda bawa sedangkan anda sendiri tidak jelas apa yang anda perjuangkan? Jangan jadi seperti tin kosong yang tergeletak di tengah jalan. Kuat berbunyi, tapi tak punya isi.

Pasca-skrip: Mungkinkah aktivis masa kini terlalu ghairah untuk membebaskan orang lain sedangkan minda mereka sendiri masih belum terbebas? – Roketkini.com