Rencana

Ada apa dengan DAP? – Oleh Mazir Ibrahim



Dan itulah yang berlaku, sungguh pun ada media massa menggambarkan acara itu sebagai ‘gagal’ menarik majoriti Melayu, hakikat bahawa DAP sudah semakin kuat bertapak di arena politik tempatan semakin baik.

Mereka yang berfikir (termasuk wartawan) dalam kerangka politik populis, sifirnya sama sahaja dengan ahli politik yang tipikal, baik seperti politikus UMNO-BN mahu pun kalangan dalam Pakatan Rakyat. Bagi mereka, kuantiti dan jenis kulit itu adalah segala-galanya.

Jika inilah cara kita berfikir dalam membentuk agenda politik (baik menerusi kewartawanan atau propaganda), maka ianya amat jauh ketinggalan dari politik matang.

Kita masih bersetuju bahawa kuantiti dan warna kulit itu memang ada kesan dan manfaatnya. Tetapi itu tidak bermakna ia adalah isyarat kepada gerakan politik yang sebenarnya.

Bukankah kita telah semakin sedar bahawa tidak semestinya kuantiti dan warna kulit itu belum tentu dapat diterjemahkan kepada undi kepada parti-parti politik?

Politik sebagai pendidikan

Maka kini persoalannya bukanlah semata-mata jumlah sambutan kepada kaum-kaum tertentu sahaja, sebaliknya kerja politik adalah juga kerja pendidikan. Ia bukan sekadar pentas ceramah mencari glamor dengan lawak jenaka yang sinis dan retorik falsafah hebat-hebat.

Program wacana atau forum sememangnya masih mentah dan kelat di Malaysia. Bukan sahaja bagi kaum Melayu tetapi semua kaum, khususnya apabila dilibatkan dengn politik.

Malah, budaya membeli atau membayar untuk membaca, terutama di alam intrnet,  masih sangat tawar lagi. Lebih buruk keadaannya apabila bahan bacaan itu dalam Bahasa Kebangsaan.

Contohnya, media alternatif Malaysiakini dalam ruangan Bahasa Malaysia, tidak berupaya untuk ‘menjual’ ruangan tersebut kepada ‘subscribers’ berbanding ruangan Bahasa Inggerisnya. Ini bukanlah salah Malaysiakini, sebaliknya ini sebagai petanda bahawa warga yang bertutur dalam bahasa Malaysia masih tidak ada budaya ‘membayar untuk membaca’.

Bahasa sebagai penyambung maklumat

Justeru, program wacana ‘Kenapa Saya Pilih DAP’ ini secara tidak langsung cuba menjawab persoalan yang lebih jauh lagi. Bukan sekadar kenapa saya pilih DAP, tetapi apa yang saya boleh buat menerusi DAP, iaitu meletakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa demokrasi yang boleh difahami oleh semua kaum di Malaysia.

Mendemokrasikan pemikiran rakyat adalah satu proses pendidikan, dan proses itu amat panjang. Salah satunya menerusi forum sebegini; di mana majoriti hadirin dari kawasan kelas menengah itu dari kalangan bukan Melayu, namun sebagai warga Malaysia, mereka memahami isu forum yang dibicarakan dalam Bahasa Malaysia (dan diadunkan sedikit-sebanyak dengan Bahasa Inggeris).

DAP bukan ingin berpolitik sekadar mahu menang pilihan raya, sebaliknya DAP mahu membuka wacana mengenai demokrasi dengan lebih luas menerusi komunikasi berbahasa, khususnya Bahasa Malaysia yang difahami semua.

Bayangkanlah, dlam keadaan di mana hari April Fool sering disambut dengan lawak bodoh, kita turut suakan diri kita untuk menyadap acara-acara yang memberi pencelikan kepada minda. Pasti kerangka pemikiran lama akan tinggal menjadi mitos dalam sejarah lampau.

Bahasa Malaysia dan wacana politik bukan milik mana-mana kaum. Ia milik kita bersama. Selamat datang ke dunia pendidikan demokrasi. – Roketkini.com