Budaya

azan

 

 

 

Muhammad haji salleh

 

ayat dan hijau azan memercik ke luar

dari sumber mata air segala suara,

maka mengalirlah sebuah selokan kemerduan,

menyiram dan menyebar-payung,

memasuki kolong perasaan,

membelok pejal tiang

melompat di anak tangga

menikmati sabdu dan mad

dan setelah itu keluar ke medan marmar,

bertemu kain jendela kaabah,

 

dan diserap oleh benang emasnya,

sisanya kembali

ke biru tipis petang

dengan alun lapang dan berlapis.

 

gemanya beriak ungu

tinggi atau lembut

langsung atau lentur

sehingga semua

mendengarnya,

terjemput dari kedai dan sisi kedai,

ladang dan kumpulan biri-biri.

 

tidak keras, tidak lembut,

tidak memaksa, tidak menyuruh,

tetapi memanggil – menyata.

 

24 november 1995

mekah

 

* Penang Institute menganjurkan acara sambutan hari lahir Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh yang ke-70 selama seminggu, bermula kelmarin, di Komtar, Georgetown. Untuk maklumat lanjut tentang acara-acara sambutan, sila lawati laman Penanginstitute.org