Berita

PTPTN boleh dimansuh tanpa beban rakyat, kata Rafizi

SHAH ALAM, 11 APRIL: Hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dilangsaikan dengan pembayaran RM2 bilion setahun untuk jangkamasa 10 tahun dengan mengambil 3% dari hasil minyak negara RM60 bilion yang dikaut oleh kerajaan setiap tahun.

“Melangsaikan keterhutangan PTPTN bukanlah bermakna esok juga kita kosongkan akaun bank dan bayar hutang itu,” kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

Bagi peminjam yang sudah membayar hutang PTPTN, beliau mencadangkan sistem rebat bagi menjamin keadilan kepada mereka.

Katanya, jumlah kutipan yang telah dibuat PTPTN setakat akhir tahun lalu sebanyak RM2.8 bilion masih mampu ditanggung jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Malam tadi, Rafizi membentangkan cadangan pembiayaan pendidikan tinggi dalam rangka pemansuhan pembiayaan PTPTN serta mendedahkan usaha jahat kerajaan UMNO-BN untuk mengelirukan rakyat dengan menokok tambah hutang sebenar perbadanan tersebut.

“Ia boleh dilakukan. Kita ada lebih dari cukup,” kata beliau dengan penuh yakin sambil menunjukkan bahawa angka sebenar liabiliti PTPTN adalah hanya RM24.7 bilion, setelah mengambil kira jumlah pembayaran yang telah dibuat kepada peminjam tolak bayaran yang telah dibuat oleh peminjam sehingga akhir tahun lalu.

“RM43 bilion adalah jumlah yang diluluskan, bukan jumlah yang sudah dibayar,” ujar beliau yang menjelaskan angka itu digunakan oleh kerajaan UMNO-BN untuk membohongi dan menakut-nakutkan rakyat.

Kerajaan UMNO-BN setakat ini hanya menyebut bahawa hutang tersebut tidak boleh dimaafkan kerana dikhuatiri kononnya akan membankrapkan negara

Dalam sesi runding cara dengan mahasiswa di sini malam tadi, Rafizi yang juga Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, membentangkan jawapan-jawapan kepada persoalan sejak idea memansuhkan PTPTN disebut beberapa minggu lalu.

“Kurangkanlah beli kapal terbang dan kapal selam,” ujar beliau mengulas perbelanjaan pertahanan negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk sektor pendidikan.

Ditanya tentang masa depan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), beliau menjawab bahawa sewajarnya IPTS dikembalikan kepada ekonomi pasaran seperti sebelum 1996 apabila sektor swasta diberi dana untuk mengambil alih pendidikan tinggi dari kerajaan.

“IPTA kekal kecil supaya permintaan meningkat dan boleh disalurkan ke IPTS,” ujar beliau lagi, sambil menekankan bahawa dalam plan transformasi Najib Razak yang berjela-jela tidak ada satu pun komitmen untuk membuka universiti baru dan membuka peluang kemasukan ke IPTA lebih luas.

“Institusi swasta sepatutnya jadi pilihan bukan keterpaksaan kerana institusi awam tidak ada tempat,” ujar beliau. – Roketkini.com