Berita

Goenawan Mohamad sambut hari lahir Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh di Pulau Pinang esok

GEORGE TOWN, 13 APRIL: Tokoh wartawan dan sasterawan Indonesia, Goenawan Mohamad, akan mejadi tetamu khas sempena majlis ulang tahun kelahiran ke-70 Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh di sini esok.

Goenawan yang terkenal dengan tulisan esei Catatan Pinggir adalah pengasas majalah Tempo yang berani memperjuangkan kebebasan media walau pun dua kali diharamkan oleh regim Suharto. Beliau telah beberapa kali memenangi anugerah kewartawanan global.

Goenawan yang baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-70 pada Julai tahun lalu, akan meraikan Muhammad Haji Salleh, di Pulau Pinang, esok di mana sempena hari bersejarah ini, Penang Institute akan menganjurkan majlis khas untuk meraikan, menghargai dan mengiktiraf sumbangan Sasterawan Negara terseut.

Muhammad merupakan seorang sasterawan negara yang  telah menggilap bakatnya sejak tahun1960-an lagi dan telah menerima  anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1991.

Dalam acara-acara esok, Goenawan akan menyampaikan Pidato Kebudayaan; Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengisahkan tentang jasa Muhammad Haji Salleh;  Hasmi Hashim (Buddhi Hekayat) yang terkenal sebagai penulis lirik lagu Awan Nano dengan alunan seruling oleh Rohaslam Hizad akan mendeklamasi sjak.

Ucapan pengantar sambutan malam kemuncak akan disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Acara sambutan terbahagi kepada 3 program:

1. Pameran Khas SN Prof Muhammad Haji Salleh

Pameran ini akan diadakan di ruang legar Tingkat 3 KOMTAR yang akan berlangsung sejak 9 April 2012 hingga esok dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

Antara bahan-bahan yang dipamerkan ialah buku-buku yang dihasilkan oleh tokoh berkenaan, sajak-sajak tulisan tangan yang dicoret atas pelbagai jenis bahan, termasuk di atas sampul surat terpakai, kertas nota dari hotel-hotel yang pernah dikunjungi beliau dan sebagainya.

Selain itu pameran ini turut membentangkan perjalanan hidup SN Prof. Muhammad Haji Salleh

2. Forum Nusantara

Siri keempat forum ini yang beremakan jasa Muhammd Haji Salleh akan diadkan esok pagi di Auditorium F, Tingkat 5 KOMTAR, dengan tajuk “Sireh Pulang ke Gagang: Menelusuri Karya dan Jasa SN Muhammad Hj Salleh”. Forum ini bakal dibarisi oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Prof Dato’ Dr Salleh Yaapar, Prof Madya Dr Mawar Safie, Eddin Khoo dan Prof Dato’ Dr Abdul Kadir Lebai Din sebagai moderator.

3. Malam Kemuncak

Kemuncak kepada acara sambutan ulang tahun kelahiran ke-70 Muhammad Haji Salleh, bermula dari jam 7.30 malam hingga 11malam esok di Dewan Tunku (Dome), Tingkat 5, KOMTAR.

Penang Institute mengajak para peminat dan pencinta bahasa dan budaya dari seluruh pelusuk negara untuk menghadiri dan menjayakan acara khas ini yang bertujuan untuk meraikan seorang tokoh yang sudah lama menuang baktinya demi memelihara dan mengembangkan dunia persuratan di rantau ini.

Tiada bayaran dikenakan. Semua program adalah percuma. – Roketkini.com