Berita

Kerajaan Pakatan Pulau Pinang berjaya tenangkan keadaan ekoran berita gempa bumi Sumatera

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

GEORGE TOWN, 13 APRIL: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada penggerak industri utama di Pulau Pinang kerana mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani kejadian gempa bumi di Pulau Sumatera kelmarin.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, pejabatnya dan kerajaan negeri telah saling berhubung dengan penggerak industri utama Pulau Pinang iaitu dari FMM, Frepenca dan Persatuan Hotel Pulau Pinang ketika kejadian berlaku.

“Kerajaan Negeri ingin menambah di sini bahawa masyarakat umum harus mencontohi pengalaman penggerak industri ini yang saling berhubung untuk mengetahui perkembangan terkini gempa bumi melalui sumber-sumber rasmi dan tidak mendengar khabar angin.

“Kerajaan negeri yakin bahawa gempa bumi yang berlaku di Indonesia tidak menyebabkan apa-apa impak serius kepada ekonomi umum Pulau Pinang. Terdapat beberapa gangguan kepada aktiviti-aktiviti umum di beberapa sektor pembuatan dan pelancong di hotel-hotel di pantai Pulau Pinang semalam, tetapi, tiada insiden besar dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kerajaan negeri bimbang dengan khabar angin terutama di laman web sosial media kononnya Jambatan Pulau Pinang dan perkhidmatan feri telah ditutup ekoran gempa bumi di Sumatera.

“Khabar angin ini adalah tidak benar dan bertujuan untuk menganggu kesejahteraan ekonomi negeri yang sememangnya bergantung kepada pelancongan dan pembuatan.

“Sebarang penutupan Jambatan Pulau Pinang dan penamatan serta-merta perkhidmatan feri perlu mendapatkan perundingan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu. Tiada permintaan seperti itu dikemukakan kepda kerajaan negeri,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri bersama semua agensi negeri dan Persekutuan serta sektor swasta telah mewujudkan mekanisme dan pengurusan krisis untuk menangani sebarang kemungkinan berdepan amaran tsunami.

Katanya, mekanisme itu telah terbukti berjaya di mana tiada suasana cemas, jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri mampu  menguruskan dengan cekap untuk mengendalikan tindak balas yang diperlukan seperti pengurusan krisis dan kecemasan tersebut. – Roketkini.com