Berita

Skandal PKFZ: Siapa lindungi siapa?

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: DAP mendakwa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dan Pengerusi Port Klang Authority (PKA) Datuk Teh Kim Poh telah berkomplot untuk menukar keputusan-keputusan yang telah diambil oleh PKA berhubung projek Port Klang Free Trade Zone (PKFZ).

Akhbar The Sun hari ini mendedahkan bahawa PKA telah menulis kepada Majlis Peguam minggu lalu untuk menarik balik aduan terhadap Rashid Asari & Co kerana konflik kepentingan apabila menyediakan penjanjian jual beli bagi pihak PKA untuk projek PKFZ.

Pengerusi PKA pada ketika itu Datuk Lee Hwa Beng dikatakan telah menjalankan tanggungjawab beliau untuk membuat laporan terhadap Rashid Asari & Co kepada Majlis Peguam dan hasilnya mereka yang terlibat telah pun didakwa.

Bagimana pun, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, PKA telah membuat keputusan untuk menarik balik saman undang-undang terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd kerana gagal menjalankan kerja-kerja berjumlah RM1.6 bilion.

“Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) (sebagai pemaju PKFZ)  juga dituduh kerana membuat tuntutan sebanyak RM55.8 juta dan RM83 juta atas kerja-kerja infrastruktur awam yang tidak dilaksana.

“Namun untuk kepentingan KDSB, dengan niat jelas untuk menutup seluruh skandal BN ini, PKA telah bersetuju untuk arbitrasi meski pun kesalahan tersebut jelas merupakan jenayah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemegang saham KDSB adalah Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu dan Kelab Penyokong Kerajaan BN,” katanya.

Menurutnya, Datuk Seri Kong Cho Ha harus menjawab mengapa beliau ingin menghancurkan segala proses dan usaha yang telah dilakukan untuk membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan dan juga menjaga kepentingan pembayar cukai Malaysia.

“Kerana penyelewengan dan salah urus, kerajaan (wang rakyat) terpaksa menanggung bil RM12.5 bilion.

“Keengganan menteri untuk menyelesaikan masalah tersebut jelas menunjukkan bahawa kepentingan politik sedang dilindungi pada harga yang dibayar oleh kerajaan,” tambah Pua. – Roketkini.com