Berita

Tindakan tegas wakil rakyat DAP selesaikan masalah tanah runtuh

PUCHONG, 16 APRIL: Penduduk di Bandar Puteri 9 di sini yang diancam dengan kemungkinan tanah runtuh hari ini akhirnya boleh menarik nafas lega dari masalah yang menghantui mereka lebih setahun yang lalu.

Mereka lega selepas satu perbincangan diadakan melibatkan pihak penduduk, pemaju IOI Properties Bhd., Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Adun Kinrara Teresa Kok merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Ia berikutan persetujuan pihak pemaju untuk memberi butiran terperinci dan jaminan keselamatan selewat-lewatnya dijangka selesai minggu hadapan.

Dalam pertemuan ‘hangat’ ini, Gobind yang bercakap bagi pihak penduduk mahukan satu jaminan dari pihak pemaju agar mengemukakan dan memberi salinan keseluruhan plan, dokumen-dokumen berkaitan.

“Telah lama masalah ini dipersoalkan oleh penduduk sejak setahun yang lalu. Semua orang (penduduk) mahukan jaminan bahawa tempat ini selamat.”

“Kami (wakil) dari kerajaan negeri lebih risau dari apa yang anda semua risaukan. Apa akan terjadi sekiranya kejadian Bukit Antarabangsa berulang? Dan (kerajaan negeri) akan dipersoalkan. MPSJ akan lakukan kerja mereka,” ujar beliau lagi.

Antara desakan dan tuntutan yang dilontarkan kepada pemaju minggu lalu adalah berdasarkan kepada minit mesyuarat yang telah dilakukan dengan pihak berkenaan:

1)      ‘Letter of undertaking’ (surat akujanji)

2)      Surat akujanji kedua melibatkan tanah lot tepi empat buah rumah sebagai laluan masuk

3)      Cadangkan tindakan segera, pemaju perlu menjalankan segera kerja-kerja pengukuhan cerun

4)      Pihak Flora Development (anak syarikat IOI) hendaklah member surat jaminan kepada penduduk, kandungan surat tersebut       hendaklah menyatakan:

(i)                 memperbaiki halaman rumah seperti kedaan asal

(ii)               memperbaiki segala kecacatan, kerosakan rumah yang disebabkan kerja pengukuran cerun

(iii)             menawarkan pembelian semula rumah kepada penduduk dengan harga yang dipersetujui kedua-dua belah pihak

(iv)              jaminan dari IOI kepada penduduk bahawa tempat ini selamat

Hanya terdapat satu sahaja laluan keluar masuk di kawasan terbabit. Laluan tersebut telah ditutup kepada kenderaan keluar masuk penduduk dan bakal digantikan dengan laluan alternatif bersebelahan dengannya.

Sebanyak 58 buah terumah terancam dan buat masa ini kereta bugi golf digunakan untuk membawa penduduk keluar masuk ke kawasan kediaman mereka. – Roketkini.com