Budaya

Wilayah merdeka dan pencerahan – Oleh Izmil Amri

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

Arakian maka mafhumlah bahawa Goenawan Mohamad menyarankan agar penulis, penyajak, penyair, pemantun, budayawan, kesemua mereka itu dan yang sefaham dengan mereka itu agar angkat bungkus dan mendiam di Pulau Pinang. Kerana mengikut kata Goenawan, Pulau Pinang itu ‘wilayah merdeka’.

Mas Goen diterbangkan khas dari seberang Selat Melaka/Selat Tebrau/Laut China Selatan untuk menyampaikan pidato kebudayaan pada malam kemuncak sambutan hari lahir Sasterawan Negara, Prof Emiritus Muhammad Haji Salleh. Kedua-duanya ini jarang-jarang terjadi; sambut hari lahir sasterawan, dan Goenawan terbang masuk ke Malaysia untuk meraikan sambutan hari lahir. Tidak pernah terjadi.

Jadi hujung minggu lalu di Pulau Pinang itu adalah sejarah besar. Hampir saja sama besarnya dengan detik mula Francis Light meletakkan kakinya pada tanah pulau itu setelah monarki Kedah berjaya ditundukkan melalui muslihat.

Pulau Pinang ini adalah negeri yang padanya lahir para seniman. Bukan setakat seniman yang bermain dengan seni malah cukup berani untuk merakyatkan seni. Tiada contoh yang lebih besar selain P Ramlee yang pada seni filemnya dan lagunya itu sarat dengan kritik terhadap semua yang salah pada pandangannya. Soal keadilan, badut-badut birokrasi dan kezaliman pemerintah adalah tema-tema besar dalam karya-karya filem arahan beliau, selain tema-tema cinta yang mengangkat kesedaran kelas seperti halnya dalam bikinan gambar Penarek Becha.

Pulau Pinang turut menjadi tanah permainan Sasterawan Negara yang dirai, Muhammad Haji Salleh kala usia membesarnya dia sambil mengikut jelajah pindah keluarga ke rata-rata tempat. Sungguh begitu, lebih banyak masa yang dihabiskan di Pulau Pinang, lebih tepat di Sungai Acheh, dekat Nibong Tebal; di mana ayahnya menjaga kedai dan beliau menghabiskan masa bermesra dengan alam.

Seni merakyat

Seperti P Ramlee, Prof Muhammad juga seorang yang merakyat dan punya pendapat, serta lantang menggariskan pendapat dan kritiknya itu dalam baris-baris puisi. Di sebalik cermin mata bingkai besar itu ada mata yang bukan setakat memerhati tetapi turut menganalisa dan kadang kala menghukum, sepertimana kelaziman sekalian penyair berani yang menuliskan kebenaran.

Dalam puisi Bulan Luntur Prof Muhammad menulis:

ii

bagaimanakah rupa kenyataan?
ataukah pernah ada bentuk padanya:
yang baik dipilih
dengan perasaan hormat,
untuk penyumbang dikarangkan
terima kasih dan diucapkan selamat,
yang sederhana disudutkan pada kebiasaan,
yang jujur dianjur menjaga nilai
yang berani dibenarkan berkata awal?
tapi ini semuanya mimpi,
dilayangkan oleh purnama,
kerana yang kulihat hanya kacau:
yang licik jadi ketua,
yang kejam jadi hakim,
pemuji dipangkatkan tinggi,
pemikir diawas-awasi.
sarjana dipencilkan ke bilik,
si rajin dituduh bercita-cita,

si malas merancang kuasa.
gelap dunia ini
rimba subur
membeli sopan dan seni
kudengar ketawa besar
dari daerah peniaga
dan terkelip senyum
pada sekutunya yang bertakhta.

tiada lukisan, tiada puisi.
lagu telah tenggelam di bawah arahan,
penari dirogol oleh pengurusnya.

Muhammad Haji Salleh dengan tajam menyumpah kekacauan nyata tanpa perlu menambah bunga-bunga bahasa. Tidak seperti tulis beliau dalam puisi Malam;

Di luar malam menakung dakwat

Canda alam mengawas kandung
Hingga pagi membocorkannya
Lewat sepi mergastua bercicip,
Membalut belukar dengan bintik bunyi
Atau menanda diri di tengah sunyi.

Ada beberapa bintang jauh
Menebuk kain hitam langit
Dan membersitkan kita keluar
Dari malam
Untuk nikmat cahaya.

Dan malam berlalu
Dengan longsor licinnya
Hingga tiba pada debu pagi –
Rahsia surut di kesedaran.

Puisi yang ini ada banyak bunga-bunga. Di mana biji butir maksudnya harus digeledah dan dicerakinkan untuk akhirnya memahami bahawa tulisan ini sekadar menceritakan pengalaman beliau tidak mampu lena dan merenung langit. Jelas, Bulan Luntur lebih terang mesej dan kritiknya.

Pembaca mudah bersetuju kerana apa yang ditulisnya itu benar. Adalah benar bahawa penguasa dan pemerintah adalah dari kalangan yang licik, yang duduk di kerusi hakim tidak adil, yang berilmu dikurung jauh dan seterusnya. Mudah hadam, kerana yang dibahasakannya itu adalah kebenaran.

Sama juga kesnya dengan Mas Goen si pendiri mingguan Tempo yang penerbitannya dua kali diharamkan secara paksa oleh Soeharto kerana lantang amat kritiknya terhadap rejim autoritarian itu. Kritik Goenawan juga benar, seperti yang sudah dijilidkan dalam koleksi ‘Catatan Pinggir’nya.

Kedudukan orang seni

P Ramlee, Muhammad Haji Salleh dan Goenawan Mohamad bukanlah orang politik, tetapi orang seni. Keperluan manusia kepada seni ini adalah fitrah yang tidak dapat dinafi. Seni bikin manusia jadi manusia. Orang seni bikin manusia ada budaya. Budaya bikin manusia mampu bina tamadun. Tamadun bikin manusia khalifah yang berjaya. Demikian sifirnya.

Lalu fungsi orang seni yang kritis itu maha penting. Bukan sekadar untuk tuliskan seloka atau pentaskan lakonan buat hibur hati rakyat yang berduka harga barang naik mendadak. Malah penulis dan orang seni punya peranan besar dalam memberi acuan kepada peradaban politik manusia, supaya punya adab dan tatasusila. Pemerintah yang mengiktiraf peranan orang seni harus diberi hormat kerana punya kesedaran dan pencerahan untuk mengangkat seni budaya sebagai anasir penting keberadaban manusia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seraya berucap merasmikan acara turut mengumumkan niat murni untuk membikin Anugerah Sastera Pulau Pinang. Ini buat kita berfikir tentang apa yang telah United Malays National Organisation (UMNO) dan Barisan Nasional lakukan sepanjang pemerintahan mereka selama ini untuk mengiktiraf penggiat seni budaya.

Justeru yang menjadi keutamaan dalam budaya politik baru ini ialah usaha keras melawan pembodohan. Pulau Pinang mengorak langkah menuju wilayah merdeka dan berpencerahan, menentang zulmat dan kelam gelap pembodohan yang dipaksakan sekian lama oleh UMNO sehingga begitu azab sekali untuk hadirin menghargai pidato Goenawan lantas meninggalkan dewan setelah kenyang makan.

Jalan perjuangan masih panjang, gelap pembodohan masih likat. Dan seperti yang diucapkan si Budhi Hikayat, generasi yang baru nak naik inilah yang akan berhutang budi dengan penulis-penulis terdahulu atas nyalaan obor yang mencerahkan gelap buatan lima puluh tahun lalu. Selamat hari lahir Sastrawan Negara. – Roketkini.com