Berita

Kalau Ibrahim Ali nak pertahan ISA, buatlah demonstrasi di Putrajaya

GEORGE TOWN, 17 APRIL: Cabaran pemimpin ultra-Melayu, Ibrahim Ali, supaya DAP mencadangkan kepada Kerajaan Singapura memansuhkan ISA adalah sesuatu yang pelik dan sukar difahami.

“Pertama sekali, bukankah dasar negara kita adalah untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain, apatah lagi negara jiran yang juga ahli ASEAN?

“Seterusnya, apakah sebenarnya yang ingin disindir oleh Dato’ Ibrahim?” kata Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari.

Beliau menjelaskan bahawa umum mengetahui DAP adalah parti yang senantiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan hak asasi manusia.

Katanya, DAP tidak pernah teragak-agak untuk membantah dan menentang undang-undang zalim dan mencabul hak asasi seperti ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Menurutnya, DAP menentang penggunaan undang-undang zalim bukan sahaja di Malaysia, bahkan di mana-mana negara di dunia, selaras dengan pendirian parti yang memartabatkan hak asasi dan kebebasan setiap insan.

“Saya rasa jika Dato’ Ibrahim ingin sangat untuk mempertahankan ISA yang dikatakannya sebagai “berjaya mengekalkan keamanan”, beliau sepatutnya membantah pemansuhan ISA di negara kita.

“Kenapakah beliau tidak membuat demikian? Apakah beliau hanya berani untuk mencabar orang dari jauh dan tidak berani untuk mempertahankan pendiriannya di negara sendiri?

“Jika Dato’ Ibrahim betul-betul berani, beliau dan Perkasa patut membuat demonstrasi bantahan secara besar-besaran terhadap Dato’ Sri Najib di Putrajaya untuk membuktikannya,” ujar Zairil.

Beliau menambah, DAP tidak ada kena mengena dengan Singapura atau mana-mana negara lain kerana DAP adalah parti untuk rakyat Malaysia sahaja. – Roketkini.com