Berita

Pindaan AUKU perlu rombakan menyeluruh dan munasabah

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang mahu membenarkan mahasiswa pertubuhan politik hanya bersifat separuh jalan kerana ia terus mengongkong kebebasan anak muda.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, walau pun beliau pada dasarnya menyokong cadangan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang mencadangkan pindaan Seksyen 15(2) AUKU untuk membolehkan pelajar  universiti yang bergiat dalam parti politik turut memegang jawatan dalam kelab-kelab atau persatuan-persatuan dalam universiti, ia masih memerlukan rombakan yang menyeluruh dan munasabah.

“Itu bukan pindaan yang mencukupi kerana banyak lagi klausa yang memerlukan pindaan, termasuk Seksyen 15(3) yang terus menghalang kebebasan berfikir dan beraktiviti di kalangan mahasiswa,” katanya dalam satu sidang media bersama dengan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Seksyen 15(3) AUKU menyatakan bahawa :

“Seseorang pelajar universiti dan mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar universiti yang ditubuhkan oleh, dibawah atau mengikut Perlembagaan, tidak benyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap-

(a) mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(b) mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, perkara itu adalah langsung tidak praktikal dan  tidak munasabah.

“Bagaimana seseorang pelajar tidak boleh memberi pendapat kepada sesiapa yang didapati bersalah oleh mahkamah?

“Kalau ada kes di mahkamah, katakan seseorang telah pun disabit sebagai bersalah oleh pihak hakim dan isu ini menjadi satu kes dalam universiti, adakah pelajar tidak dibenarkan untuk membincangkan sama ada keputusan ini adalah munasabah atau pun ada masalah teknikalnya dari segi undang-undang yang mana mungkin yang disabitkan itu sebenarnya tidak bersalah?”

Dalam pada masa yang sama, Pua berpendapat bahawa beliau boleh berkompromi berkenaan Seksyen 4(b)(a) yang menghalang pelajar daripada menyatakan pendirian, bercakap, memberi pendapat dalam sebarang program anjuran pertubuhan haram tetapi tidak boleh menerima klausa yang menyatakan bahawa seseorang pelajar itu tidak boleh bercakap dalam sebarang program dan acara yang tidak diluluskan oleh pihak universiti.

“Kita mahu cadangan pindaan itu ditolak,” tambah beliau.

Menurutnya, walau pun ada pindaan singkat oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Pakatan Rakyat mahu penambahbaikan terhadap pindaan tersebut dengan menambah pindaan tambahan terhadap yang sedia ada. – Roketkini.com