Rencana

Ibu, demo tu penting ka? – Oleh Izmil Amri

“Demo tak penting nak,” kata sang ibu sambil hulur ais krim ke tangan anaknya. Mata si anak liar melihat geromboloan manusia berpusu-pusu berkumpul di satu tempat dan bersorak-sorak dengan begitu marah. “Yang penting kita cukup makan. Kita mesti mensyukuri nikmat keamanan negara,” tambah si ibu.

Mata si anak tambah membundar pada kumpulan yang tadi itu. Sekarang ini membina khemah-khemah dan berkumpul padanya, mengangkat slogan-slogan penuh rasa tidak puas hati. Pada wajah mereka itu ada rasa kecewa dan tertekan dengan kehidupan.

“Tapi ibu, kenapa mereka itu berkumpul? Apa yang mereka mahu? Kenapa mereka marah?” tanya si anak lagi.

Ibu sekadar tersenyum. Jawapan sarkastiknya tadi tidak meredakan semangat ingin tahu anaknya. Anak demonstran, mana mungkin pernah puas hati dengan jawapan retorika. Si ibu bawa anaknya ke bangku batu, aiskrim dipegang erat; ibu mula bercerita kenapa gerombolan anak muda itu berkumpul di penjuru Dataran Merdeka itu.

***

Aset tolak liabiliti

Bagaimana kita mengira net worth atau nilai bersih sesebuah organisasi? Kita jumlahkan asetnya, kemudian kita tolak liabilitinya. Kiraan serupa boleh dilakukan untuk mengukur nilai kekayaan bersih seseorang individu. Kalau dalam skala lebih besar, kita boleh melihat keadaan ekonomi negara dengan mengira jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bandingkan jumlah keterhutangan negara berbanding nilai KDNK. Keterhutangan ini adalah liabiliti. Malaysia sedang menanggung keterhutangan nasional sebanyak 53% daripada KDNK. Lebih separuh.

Cuba buat pengiraan yang sama terhadap diri anda dan tentukan nilai bersih anda. Jumlahkan aset-aset anda seperti wang di bank, wang di dalam dompet, harta-harta boleh jual, aksesori barang kemas semuanya. Kemudian jumlahkan pula hutang-hutang anda dalam nilai negatif. Hutang kereta, hutang rumah, hutang pinjaman peribadi, hutang cheti, hutang Ah Long Bukit Beruntung, hutang kad-kad kredit dan tidak dilupakan, hutang PTPTN. Tolak nilai keterhutangan itu daripada jumlah aset anda. Itulah nilai bersih anda sekarang.

Janganlah monyok, senyumlah sikit. Saya faham anda tidak senang dengan nilai negatif itu. Tapi apa boleh buat. Kita ini semua dibesarkan dengan kelaziman berhutang. Kita yang malang ini membesar kuat dan sihat untuk menanggung keterhutangan terus menerus supaya kapitalisme membugar sehat.

Bankrap

Keterhutangan bahkan membawa kepada insolvensi. Justeru adalah tidak ganjil bagi seorang graduan berada pada sempadan bankrap sebaik sahaja menanggalkan jubah graduannya. Seorang inidividu yang mengambil pinjaman PTPTN bagi pengajian diploma dan menyambung satu lagi pinjaman di peringkat ijazah, paling kurang menanggung hutang berjumlah RM32,000 pada akhir usia pengajiannya. Lebih dari cukup untuk menepati syarat bagi diisytihar bankrap.

Itu belum ditambah hutang-hutang seterusnya yang menjadi kelaziman anak muda baru meningkat usia melangkah alam dewasa. Beli kereta baru, hutang. Beli komputer, telefon baru, guna kad kredit. Keluar jalan-jalan dengan kekasih hati, pun guna kad kredit. Cukup haul untuk berumahtangga, ambil pinjaman peribadi untuk langsung kenduri kahwin. Tukar kereta besar sikit, sebab dah gatal nak beranak pula. Beli rumah baru harga ratus ribu, pun ambil pinjaman bank. Gaji sebulan lebih kurang atau hampir-hampir dengan RM3000. Macam mana hidup?

Di Dataran Merdeka kelihatan gerombolan anak muda mahasiswa yang tidak sedikitpun luntur semangat mereka, meski hujan turun lebat. Dengan kehadiran pasukan keselamatan daripada Cawangan Khas dan DBKL, mereka pastilah rasa selamat dan berterima kasih. Tidak mungkin berlaku kecurian atau keganasan berkat kawal selia pihak keselamatan itu.

Rata-rata bertanyakan soal wang belanja harian dan sara hidup yang entah bagaimana turut disertai kos membeli iPad dan alatan teknologi terkini demi kemandirian anak mahasiswa.

Pendidikan percuma

Pada dasarnya prinsip yang diketengahkan berkaitan pendidikan percuma adalah mudah, kerana negara sebenarnya mampu menawarkan pendidikan percuma dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat ijazah pertama, cuma soal mahu atau tidak, selain soalan-soalan sentimental tentang mitos Melayu malas tidak tahu menghargai pemberian percuma. Pokoknya, negara sebenarnya kaya dan mampu, cuma yang menjadikannya rumit ialah apabila kekayaan itu tidak diagihkan secara adil, sama rata dan mengikut keutamaan.

Masalah pembiayaan pendidikan tambah meruncing sejak terbitnya dasar kerajaan untuk mengkorporatkan institusi pengajian tinggi khususnya universiti awam tempatan. Lantas mahasiswa tidak punya banyak pilihan selain mengambil dan seterusnya menanggung pinjaman PTPTN selain pinjaman-pinjaman lain demi kehidupan yang lebih menepati piawaian sosial.

Sebab yang sama juga mengakibatkan kebanjiran tenaga dan modal insan ke luar negara memandangkan tawaran kerja dengan gaji yang jauh lebih lumayan, demi untuk membayar kembali keterhutangan itu. Nyata soal besarnya ialah kos sara hidup dan masalah gaji rendah yang tidak pernah cukup untuk menampung segala hutang-hutang yang ada. Hatta untuk beli makan pun perlu korek cari duit syiling di celah sofa.

Pokok pangkal kesusahan dan kelaparan membuahkan kemarahan. Ya, tanpa duit memang susah untuk rasa tenang dan bahagia. Maka tidak hairan kenapa ramai orang marah dan tidak puas hati.

***
Anak kecil terus perhati grup anak muda yang duduk dalam bulatan dan menyanyikan lagu-lagu perjuangan.

Dalam hati kecilnya dia sedikit berterima kasih kepada pengorbanan gila mereka ini untuk duduk bersila di tengah hujan dan panas. Mana tahu perjuangan mereka ini berjaya, anak kecil nanti tidak lagi perlu kumpul duit syiling untuk biaya pendidikan sampai bila-bila.

Perlahan-lahan dia berjalan menuju grup itu sambil dipimpin ibunya.

“Demonstrasi itu penting kan ibu?” tanya si anak kecil lagi.

Si ibu terus senyum. Anak kecil sudah pandai bertanya. – Roketkini.com