Rencana

Samseng serang mahasiswa, Menteri sokong? – Oleh Izmil Amri

“Jangan tagih simpati,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin; memberi respon kepada serangan puluhan samseng yang bertindak memusnah dan menyepak terajang anak mahasiswa di Dataran Merdeka awal pagi tadi.

“Takde siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa2 perkara, jgn tagih simpati” kata beliau di laman rangkaian sosial Twitter tengah hari tadi. Demikianlah betapa baik hatinya seorang Menteri, seolahnya meredhakan keganasan berlaku atas alasan politik.

Samseng menyerang

Sekitar jam 2:30 pagi sekumpulan pemuda berpakaian serba hitam datang menghampiri mahasiswa dan anak muda serta penyokong mereka yang sedang duduk di Dataran Merdeka. Kehadiran mereka disedari sejak awal, tetapi niat mereka tidak pula diketahui. Sebahagiannya berlegar di bahagian padang dan segerombolan lagi duduk di tepi-tepi jalan.

Setelah beberapa pekikan kedengaran menyuruh “Bangun” dan “Balik tidur rumah” kumpulan pemuda tersebut mula merentap khemah-khemah yang terpasang dan menyerang para mahasiswa dengan ancaman kekerasan fizikal sambil menuturkan caci maki kepada mereka yang tetap duduk di lantai Dataran Merdeka.

Lima belas khemah anak muda mahasiswa dirosak dan dirobohkan. Satu daripadanya didiami oleh seorang mahasiswi yang sedang tidur. Beliau terjaga dari lena apabila kepalanya ditendang dari luar khemah oleh gerombolan samseng yang datang menyerang mendesak supaya anak muda mahasiswa “balik rumah” dan “mengenang jasa kerajaan memberi pendidikan” kepada mereka.

Sebahagian daripada pemuda samseng ini kemudiannya bertindak menghalang gambar mereka diambil dan mula mengejar dan menyerang hadirin yang mengambil gambar demi merampas kamera mereka. Tabung sumbangan, kain rentang semuanya disepak terajang sehingga terpelanting jauh. Khemah-khemah diroboh dan direntap, manakala anak mahasiswa dipukul dan diugut serta dicerca dengan kata-kata kesat.

Apa yang lebih menghairankan, anggota Cawangan Khas dan pegawai polis beruniform yang berada hanya sepelaung dari tempat kejadian tidak pula bertindak menghalang atau menghentikan keganasan yang terjadi, tetapi sekadar berdiri memerhati dan membuat rakaman seperti yang kononnya ditugaskan.

Ada juga yang turut ke tengah dan menghalang daripada mahasiswa diapa-apakan, tetapi anak muda tetap menjadi mangsa kena belasah samseng.

Penydudahnya hari ini Unit Amal PAS menawarkan khidmat untuk menjaga keselamatan para mahasiswa dan anak muda yang pada hari ini genap enam hari bertapak di Dataran Merdeka, menuntut pendidikan percuma dan pembatalan bebanan hutang PTPTN.

Budaya samseng budaya UMNO?

Budaya provokasi dan keganasan politik bukan sesuatu yang baru dalam modus operandi pihak pemerintah yang dikepalai United Malays National Organisation (UMNO). Apabila hujah dan fakta sudah tidak boleh dibalas dengan hujah dan fakta, maka percakapan dengan kaki dan tanganlah yang menjadi pilihan mereka.

Jelas politik ketakutan merupakan senjata kepimpinan UMNO untuk meletakkan rakyat dalam sangkar pembodohan dan ketaatan membuta tuli.

Kita pastinya masih ingat kepada ceramah Asalkan Bukan UMNO (ABU) Januari lalu di Jalan Kebun yang menerima serangan menggila daripada balaci-balaci ganas UMNO yang memecahkan kerusi dan memukul seorang peserta ceramah bagi menimbulkan ketakutan rakyat agar akhirnya menjauhi majlis-majlis penerangan yang menonjolkan salah urus tadbir negara oleh UMNO.

Bukti-bukti terbaru menunjukkan bahawa ada kebarangkalian bahawa samseng yang mencetuskan huru-hara di Dataran Merdeka malam semalam, ada orang yang sama bertanggungjawab menimbulkan kekecohan di Jalan Kebun. Ada iras-iras wajahnya dan kemeja-t yang dipakai tatkala bertemu Senator Ezam Mohd Noor (bekas orang kuat Anwar Ibrahim yang kini mengutuk hebat idolnya sekarang).

Kita juga pasti masih belum lupa kepada provokasi ganas yang didalangi UMNO di Speaker’s Corner Pulau Pinang apabila rakyat berhimpun menyatakan bantahan terhadap loji nadir bumi Lynas dalam Himpunan Hijau di sana. Ada wartawan yang dipukul sehingga cedera berat, dan kereta Ketua Menteri Pulau Pinang juga hampir mahu dirosakkan.

Kita juga tidak lupa kepada penumbuk yang hampir hinggap ke wajah manis Ahli Parlimen Lembah Pantai, sang Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar apabila berceramah di Felda Lepar Hilir, Gambang Pahang.

Tolak keganasan demi masa depan kita

Budaya gangster begini tidak ada tempat dalam budaya politik baru. Kalau pun tidak bersetuju atas sesuatu perkara, adalah lebih bijak dan mulia untuk mengambil jalan diplomasi dan berbincang serta berdebat dengan menggunakan hujah dan fakta.

Masalahnya apabila tidak rajin berfikir dan membaca, maka berfikirlah guna kepala lutut dan bercakaplah dengan penumbuk dan penendang. Inilah malangnya nasib umat Melayu yang terperangkap dalam pembodohan yang didalangi UMNO selama ini.

Taktik politik kotor dan terkutuk ini mesti dihentikan demi menuju negara yang lebih adil dan berdemokrasi. Tambahan kepada itu, dalam zaman sains dan teknologi ini, adalaa tidak bijak untuk menggunakan kekuatan fizikal untuk mengugut dan menakutkan musuh politik, kerana berita tersebar dengan sangat laju dan mampu memberi persepsi yang bertambah buruk kepada tuan kepada pesuruh-pesuruh yang bikin huru hara ini.

Sepatutnya pihak pemerintah lebih cerdik dan belajar daripada kesilapan lalu. Sepatutnya pihak pemerintah insaf dan memeriksa keadaan. Tetapi nyatanya para pemimpin UMNO dan penyokong-penyokong mereka tidak belajar. Menteri pun masih degil dalam dunia khayalan kuasanya.

Kita perlu tolak keganasan demi masa depan kita sendiri. Semoga semangat baru akan bangkit dari hari semua rakyat Malaysia untuk membawa perubahan yang paling besar dalam sejarah negara pada pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com