Berita

Diskriminasi terhadap graduan Ijazah Kelas Pertama

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Kerajaan dirayu untuk menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi Graduan Kelas Pertama antara tahun 2005 hingga 2009.

Ini adalah kerana dasar pengecualian bayaran balik PTPTN yang dilaksanakan oleh kerajaan disifatkan tidak berlaku adil terhadap graduan-graduan yang telah berusaha gigih sehingga berjaya mendapat Kelas Pertama.

Rayuan berkenaan dikemukakan menerusi sebuah memorandum yang ditandatangani oleh 214 orang mahasiswa dan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri pada hari ini oleh beberapa orang graduan pemegang Ijazah Kelas Pertama.

Mereka mengunjungi pejabat tersebut bersama dengan Setiausaha Kerja DAP Selangor Lau Weng San.

Isu ini timbul berikutan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi sendiri yang mengatakan pernah membuat pengumuman  bahawa mulai 2010, semua mahasiswa yang berjaya peroleh Ijazah Kelas Pertama akan dikecualikan bayaran PTPTN dimana pinjaman akan dianugerahkan menjadi biasiswa.

Dalam memorandum yang dihantar, kumpulan graduan berkenaan berpandangan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi tidak bersikap adil terhadap mereka dan bersikap sambil lewa melayani tuntutan mahasiswa dan mahasiswi yang mendapat Ijazah Kelas Pertama untuk menukar pinjaman pelajaran mereka kepada biasiswa.

Merujuk kepada memorandum tersebut, kumpulan pelajar ini juga pernah mengusulkan perkara ini kepada pihak kementerian yang telah diajukan terus kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin pada 10 Januari 2012 beserta sebuah memorandum pada Februari 2012.

Malangnya, sehingga hari ini kementerian tidak memberi apa-apa respons yang wajar dan kami menemui jalan buntu. Mereka juga merayu kepada Perdana Menteri agar memberi maklum balas segera dan jelas sama ada kerajaan akan menukar pinjaman pelajaran mereka ini kepada biasiswa atau tidak.

Memorandum yang ditandatangani oleh 214 orang mahasiswa ini berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi mengambil inisiatif segera untuk menyelesaikan masalah yang tertangguh lama tersebut.

Isu penukaran pinjaman PTPTN kepada biasiswa masih belum selesai sehingga kini. Ia termasuklah isu faedah 3% yang dikenakan terhadap pelajar.

Rekod menunjukkan terdapat sekitar 8000 graduan ijazah kelas pertama dari IPTA dan IPTS yang diiktiraf seluruh negara tidak menikmati pengecualian tersebut. – Roketkini.com