Rencana

Biar benar, BN…

Bila Datuk Seri Najib Razak ke sana ke mari dengan janji-janji transformasi dan lempar duit rakyat merata-rata, ada kalangan Pakatan Rakyat yang bimbang. Maklumlah, kalau-kalau kerajaan UMNO-BN benar-benar serius untuk berubah jadi baik, jujur, ikhlas dan sayangkan rakyat.

Kalau itu yang terjadi, mungkin ada antara mereka dalam Pakatan yang rasa rakyat mungkin kembali memilih UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi kurang cerahlah peluang Pakatan.

Tapi bagi rakyat pula, kalau betul UMNO-BN serius mahu pulihkan kepincangan pemerintahan mereka, itu petanda paling baik sejak Merdeka. Rakyat bukan peduli sangat parti mana yang perintah, asalkan hidup selamat, aman damai, selesa, makmur.

Sudah rakyat juga lega jika kerajaan yang ada tidak lagi amalkan rasuah, salah guna kuasa, curi wang rakyat untuk keluarga sendiri, beli barang mewah guna duit rakyat. Malah lebih baik lagi jika kerajaan itu tak aniaya rakyat dengan buat undang-undang yang zalim dan kejam.

Tapi sepanjang bulan ini, timbul ketakutan baru pula. Bukan kerana UMNO-BN nak reformasikan diri demi kepentingan rakyat tapi kerana nak terus bergayut di tampuk kuasa. Segala undnag-undang baru dan pindaan di Parlimen bulan ini semuanya menuju ke arah kuku besi.

Yang jelas terserlah tanpa selindung adalah kerajaan UMNO-BN memang tak inginkan reformasi, penambahbaikan, perubahan positif atau apa-apa yang boleh membebaskan rakyat daripada cengkaman hak asasi dan kebebasan.

Yang dicanangkan oleh media massa (yang masih terus dikawal dan akan terus dikongkong jika UMNO-BN terus berkuasa) ialah undang-undang zalim ISA telah dimansuhkan. Yang jarang dipaparkan ialah gantian-gantian undang-undang yang lebih zalim.

Jika UMNO-BN jujur, tentunya ISA dihapuskan dan tidak perlu undang-undang gantian.

Jika UMNO-BN jujur, undang-undang zalim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga patut dimansuhkan. Dan kalau perlu pun, gantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat.

Jika UMNO-BN jujur, hapuskan sahaja Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA). Apa guna berlagak nak mansuh peruntukan lesen saja sedangkan kuasa Menteri dalam PPPA dan banyak lagi undang-undang lain teramatlah besar sehingga rakyat dipandang sebagai orang suruhan saja.

Maksudnya, jika rakyat terus memberi mandat kepada UMNO-BN dalam PRU akan datang, bukan saja janji-janji transformasi dan reformasi menjadi satu kenangan pahit tapi segala kebobrokan akan berterusan buat selama-lamanya.

Memang benar, rakyat tak perlu peduli parti mana yang perintah asalkan kerajaan itu bersih, jujur dan terbuka serta sayang kepada rakyatnya sendiri.

Cuma yang jelas, ciri-ciri yang baik itu hampir tidak ada sama sekali dengan UMNO-BN. Jika kita mudah alpa dengan janji-janji, maka layaklah UMNO-BN terus mencengkam hidup kita.

Memang Pakatan Rakyat tidak sempurna. Tidak ada parti politik yang sempurna. Tapi jika nak dibandingkan dengan UMNO-BN dan apa yang sedang dilakukan pemimpin dan pecacai mereka untuk terus mengongkong, mencengkam dan mengikat rakyat, sepatutnya sudah jelas antara yang baik dan yang amat buruk. – Roketkini.com