Rencana

Antara Warung Kak Ana dan McD Oleh Muhammad Ismail

Warung Kak Ana adalah warung yang menjual makanan tradisi seperti nasi lemak, kuih-muih, lempeng kelapa dan lauk-pauk yang sangat enak dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga di Bangi.

McD pula merupakan ‘kedai makan’ yang mempunyai cawangan di merata tempat. Sama ada di highway, pusat membeli-belah, kawasan taman perumahan, kawasan kampung, lapangan terbang dan di mana-mana sahaja yang menjadi tumpuan utama masyarakat Malaysia yang pemurah ini.

Kesimpulan awal, McD menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia berbanding Warung Kak Ana yang sentiasa terpinggir lagi dipinggirkan oleh masyarakat Malaysia yang terlalu asyik dengan kemajuan.

Warung Kak Ana

Lokasinya terletak di Seksyen 2 Bandar Baru Bangi. Menjadi pilihan bagi anak muda yang kool dan yang cenderung menjadi gagalist. Warung ini menjadi pilihan bagi diskusi kecil-kecilan dan port anak muda di Bangi, untuk membincangkan isu-isu semasa, membawakan artikel-artikel baru (khususnya tokoh-tokoh yang jarang dikenali seperti Carl Smitt), diskusi cadangan PhD, juga strategi bermain bola, strategi mengayat awek dan strategi mendedahkan kepincangan rejim yang berkuasa.

Warung Kak Ana adalah milik penuh Kak Ana, seorang Puteri UMNO dan ibu tunggal yang mana dahulunya membuka warung di kawasan rumah pangsa kediamannya, tetapi dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), kerajaan tempatan di bawah pentadbiran negeri Selangor, berikutan desakan Ketua Blok Flat PKNS (yang juga ahli UMNO cawangan Seksyen 2) disebabkan berlakunya pertelingkahan kepentingan antara Ketua Blok dan Kak Ana.

UMNO sesama UMNO bergaduh, kerajaan tempatan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang merobohkan warung manakala anak muda dan penduduk setempat menjadi mangsa ekoran kedai makan yang paling sedap, murah dan dekat telah dirobohkan atas sebab-sebab teknikal.

McD

McD atau nama berdaftarnya McDonald’s adalah sebuah perusahaan kapitalis berjaya yang diuruskan oleh warga tempatan yang terdesak dengan pekerjaan, yang perlu menyuapkan sesuap nasi untuk anak, isteri mahu pun suami yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Kewujudan McD di negara-negara terpilih merupakan suatu mitos yang kononnya apabila adanya McD maka negara berkenaan maju jaya.

Justeru, bagi meneruskan legitimasi menjadi pilihan populis dalam kalangan warganegara, McD telah memberikan hak untuk penggunaan perkataan “Mc” ini apabila kalah di mahkamah bagi penggunaan perkatan tersebut. Akhirnya “McCurry” dibenarkan beroperasi dan kemunculan beberapa jenama tempatan yang turut sama menggunakan perkataan seperti KFC (Kelantan Fried Chicken) dan (Kedah Fried Chicklen) yang cukup sinonim di provinsi Bangi.

Tawaran makan tengah hari McD serendah RM5.95 telah menyebabkan selera masyarakat di Malaysia terhadap nasi mengalami penurunan manakala yang mengalami peningkatan pula ialah cita rasa makanan segera yang dikatakan menyumbang kepada obesiti dan penyakit-penyakit berkaitan seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. (Memanglah nasi berlauk-pauk juga mampu menyumbang demikian jika diambil berkali-kali sehari)

Sebagai contoh, kos untuk makan tengah hari boleh mencecah melebihi RM10 sekali makan (nasi = RM2, lauk ayam atau ikan atau daging = RM4 tidak termasuk udang mahu pun sotong, sayur = RM2, minuman = RM2 dan keatas).

Sajian McLunch McD (burger/ayam/bubur + kentang goring + air berkarbonat = RM5.95 tidak termasuk cukai). Justeru, hal ini telah menyebabkan permintaan dan kemurahan harga yang diberikan menjadi pilihan bagi masyarakat warganegaranya.

Siapa mendapat apa, bila dan bagaimana?

Pertembungan Warung Kak Ana dan McD seharusnya menjadi teladan bagi semua lapisan masyarakat. Hal ini berlaku disebabkan 3 sebab yang boleh difikir oleh mahasiswa tahun 1 di IPTA.

Pertamanya, Kerajaan Yang Tidak Ambil Peduli.

Dalam, hal ini kerajaan terlepas pandang terhadap peniaga-peniaga kecil seperti Kak Ana dalam membantu merealisasikan hasrat, punca rezeki dan cita-cita mereka untuk menjadi seorang peniaga. Seperti contoh, pihak berkuasa tempatan (sama ada kerajaan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional) seharusnya tidak mengambil tindakan terburu-buru seperti mendenda dan merobohkan warung yang diusahakan oleh Kak Ana yang menjadi sumber utama beliau menyara kehidupan keluarga yang dihimpit dengan pelbagai masalah yang kita sendiri tidak tahu dan ambil peduli.

Lantaran itu, pihak-pihak berkenaan seharusnya mencontohi apa yang berlaku di Indonesia (tidak pasti provinsinya) apabila Hakim Marzuki menjatuhkan hukuman kepada seorang nenek tua di atas kesalahan mencuri ubi kayu.[1]  Apa yang pasti undang-undang masih dipelihara dengan baik namun secara alaminya, undang-undang itu bersifat mengawal dan bukan mengongkong.

Kes ini seharusnya menjadi contoh teladan buat kerajaan dan masyarakat semua agar nasib sebegini tidak terlepas pandang oleh semua pihak dan keadilan sosial untuk semua juga haruslah ditegakkan. Masyarakat marhaen juga adalah masyarakat. Tiada upaya untuk kita sisihkan apatah lagi tidak ambil peduli akan nasib yang menimpa mereka.

Keduanya, Pasaran Kapitalis Mencantas Peniaga Kecil Sederhana.

Berikutan itu, ekonomi secara pasaran bebas secara tidak langsung telah menekan daya saing dan upaya peniaga-peniaga kecil sederhana ini untuk mencari sesuap rezeki. Seperti juga kelab bolasepak terkaya di dunia mahu pun di rantaunya, Real Madrid dan Manchester City telah melumpuhkan hasrat kelab-kelab proletar seperti West Ham United, Portsmouth, Arsenal, Felda United, Shahzan Muda mahu pun Diskopi FC dan lain-lain yang punyai cita-cita menjuarai liga, mendapatkan segulung sijil penghargaan dan mendapatkan pemain yang berkualiti agar boleh bersaing secara sihat.

Namun apa yang pasti, dominasi dan monopoli pasaran harga telah menyebabkan golongan-golongan atau pasukan seperti ini terkesima bagaikan melukut di tepi gantang. Apabila berlakunya dominasi dan monopoli di dalam pasaran, maka persaingan di dalam pasaran menjadi tidak sihat dan pada pengakhirannya membawa peniaga-peniaga kecil seperti Kak Ana gulung tikar.

Ketiganya, Permintaan dan Penawaran.

Tawaran McD serendah RM5.95 telah menyebabkan peniaga warung seperti Kak Ana dipinggirkan masyarakat khususnya golongan-golongan berpendapatan tinggi dan golongan elit. Berdasarkan hal ini, peniaga kecil seperti Kak Ana tidak dapat bersaing dengan sihat dengan peniaga-peniaga lain disebabkan berlakunya permintaan dan penawaran di dalam ruang pasaran pada hari ini.

Hal ini baru sahaja melibatkan faktor permintaan dan penawaran dan belum lagi diukur dengan faktor-faktor lain seperti iri hati pesaing, campurtangan oleh tangan-tangan ghaib yang mungkin tidak diketahui, ketirisan parti politik yang memegang kuasa mahupun keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan.

 

Permintaan yang tinggi terhadap tawaran yang diberikan seperti McD bukan sahaja memberikan impak terhadap pasaran ekonomi tetapi juga melibatkan peningkatan kadar penyakit yang berisiko seperti obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan keguguran rambut.

Mencari penyelesaian yang tak selesai

Penulis melihat bagaimana permulaan yang sesuai untuk memerihalkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat marhaen seperti Kak Ana dalam meneruskan kehidupan mencari rezeki, dan bagaimana pula nasib bagi seorang anak muda seperti mahasiswa yang melaungkan slogan “Mansuhkan PTPTN”, “Berkhemah di Dataran Merdeka” dan “Pendidikan Percuma” serta “Kerajaan Zalim” untuk meneruskan kehidupan yang semakin kompleks ini.

Jadi dalam hal ini, penulis menemukan kebuntuan dengan kisah Antara Warung Kak Ana dan McD untuk memulakan dan mengakhirkan cerita di samping dapat memikirkan apakah cara yang terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan ini.

Justeru, penulisan ini memerlukan kritikan dan jalan keluar yang sewajarnya yang boleh membimbing dan memberikan cahaya kepada Kak Ana dan mereka yang sebaris dengan Kak Ana untuk mendapatkan ruang dan peluang sekaligus memberikan keadilan sosial kepada mereka. – Roketkini.com
[1]                    Pertuduhan Kes Nenek Tuas Vs Hakim Marzuki. Rujuk laman sesawang http://gerakantimur.blogspot.com/2012/03/mesti-baca-kisah-seorang-nenek-vs-hakim.html