Rencana

BERSIH 3.0: Apa UMNO akan buat – Oleh Izmil Amri

Sikap yang ditonjolkan oleh Menteri Dalam Negeri terhadap perhimpunan aman duduk bantah Bersih 3.0 kali ini adalah amat luar biasa. Barangkali beliau akhirnya memutuskan untuk berfikir secara bijak dan membuat keputusan untuk tidak mengulangi modus operandi biasa yang ganas, seperti yang telah dipamerkan sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu.

Kali ini Hishammuddin Hussein secara yakin menyebutkan bahawa perhimpunan aman 28 April ini bukanlah suatu ancaman kepada keselamatan negara. Barangkali kerana perhimpunan kali ini dibuat secara duduk bantah dan bukan dengan cara perarakan di jalanraya, maka sang menteri merasakan bahawa tidak ada risiko keselamatan yang wajar dibimbangkan.

Barangkali juga Hishammuddin sengaja menghalalkan perhimpunan Bersih supaya kurang sensasi acara tersebut yang tahun lalu telah mengaibkan kerajaan United Malays National Organisation di seluruh dunia yang mempamerkan betapa bencinya pemerintah kepada rakyat sendiri. Masih terngiang-ngiang mungkin bunyi sorak-sorai di London tatkala abang sepupunya berpergian ke sana, “Kuning! Kuning! Najib pening!” Mungkin.

Mungkin atas kesedaran itu, maka tidak bersangatan liputan media untuk acara kali ini. Tidak ada tangkapan liar (ada juga dua tiga mangsa tangkapan setakat ini, mungkin kerdana prosedur piawai operasi belum sampai kepada kakitangan beruniform tersebut) dan tidak ada juga operasi geledah di pejabat NGO pengelola.

Mungkin kerana semua mata tertumpu kepada anak-anak muda di Dataran Merdeka dan liputan yang mereka terima di ruang media sosial, maka justeru Hishammuddin segan-segan mahu menghebahkan soal Bersih 3.0 secara berlebihan. Mungkin juga nanti gambar budak-budak OccupyDataran sekarang ini dijadikan penghias muka depan media arus perdana, dengan tajuk besar “Duduk Bantah Bersih Tidak Dapat Sambutan.”

Eh, polis tak setuju dengan Menterinya…

Tetapi pihak polis nampaknya tidak bersetuju dengan sang menteri. Semalam Maria Chin Abdullah, seorang daripada ahli jawatankuasa penganjur Bersih 3.0, menyiarkan di laman Twitter-nya salinan surat dari Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang telah menolak permohonan Bersih untuk duduk bantah di Dataran Merdeka atas alasan keselamatan. Eh?

Barangkali polis sudah menyampah asyik menerima arahan dari atas, atau memang sengaja mahu diperlihatkan bahawa polis tidak menerima arahan menteri, atau polis tidak peduli lagi kepada Menteri Dalam Negeri. Atau memang ada muslihat lain.

Barang diingat, pemerintah yang ini amat licik jalan kerjanya. Adalah kurang masuk akal untuk meletakkan kepercayaan, apatah lagi keimanan kepada pemerintah yang ini.

Adakah Hishammuddin Hussein tidak lagi dihormati pendiriannya sehinggakan Ketua Polis Daerah pun sudah boleh berbeza pendapat dengan beliau? Apakah pendirian Hishammuddin tidak lagi laku?

Apa pula halnya dengan DBKL?

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah pihak berkuasa tempatan yang tidak dipilih secara demokratik oleh rakyat. Pimpinannya adalah lantikan Putraraja, dan dalam amalan biasa kerajaan UMNO-Barisan Nasional, mereka hanya patuh kepada para pemimpin gabungan parti pemerintah. Rakyat dan pengundi Kuala Lumpur hanya ternganga mulut melopong.

DBKL dilantik untuk kerja-kerja baik-pulih dan urus tadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Wilayah Persekutuan punya menterinya sendiri, itu yang sedang tepuk tangan menanti kerusi Lembah Pantai sana, Raja Nong Chik namanya. Meski 90% kawasan-kawasan Parlimen Kuala Lumpur dimenangi Pakatan Rakyat, menterinya kekal UMNO, dan pucuk pimpinan DBKL semakin dilihat menjadi pak turut parti itu.

DBKL menolak permohonan Bersih atas alasan mudah bahawa ia bukan “aktiviti nasional”, dan Dataran Merdeka bukan tempat untuk berbantah-bantahan.

Kelakar sangat jawapan ini. Tentulah kena dengan jawapan umum bahawa Bersih memang bukan aktiviti nasional kerana ia adalah aktiviti antarabangsa. Satu dunia akan ikut duduk bantah bersama dengan Kuala Lumpur.

Ketakutan yang mereka rasai ini sangat ‘real‘ sebenarnya. Kita boleh fahami kerunsingan mereka itu. Berbanding dengan Bersih tahun lalu, kali ini UMNO memilih untuk menutup mata dan telinganya daripada berurusan secara langsung dengan perhimpunan tersebut.

Anak kecil nampak hantu bawah katil

Tidak hairan sebenarnya kerana ini reaksi biasa bagi anak-anak kecil yang ternampak hantu di bawah katil. Kali pertama tengok terkejut menjerit-jerit nangis. Kali kedua ternampak, terus mengamuk menangis sampai kalau boleh bilik tidur juga mahu dibakar. Kali ketiga nampak, terus buat macam tak nampak. Ini biasa.

Tetapi dalam keadaan sebegitu mendiam dan kurang reaktif, apa yang dapat kita lihat adalah kelahiran gerakan-gerakan nakal yang jelas berpaksikan UMNO seperti TIBAI (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim) yang baru-baru ini bikin heboh di UPM dengan perhimpunan bantah aktiviti seks bebas dan LGBT, dengan menginjak-injak potret Sasterawan Negara A. Samad Said dan Ambiga Sreenevasan, pengerusi bersama Bersih.

Ini tidak begitu masuk akal sebenarnya. Apa kaitan seks bebas dengan perhimpunan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih? Non sequitur kata orang puteh.

Namun trend kebodohan tidak terhad di situ sahaja, malah lebih merisaukan ialah trend kebodohan ini disertakan dengan ancaman bertindak guna kepala lutut dan buku lima. Tidak lain, apabila mati akal dan tiada hujah fakta bagi menjawab pertuduhan daftar undi dikotori warga asing yang dapat kad pengenalan mudah; mulalah diacukan tuduhan tak berkaitan seperti ‘Bersih mahu gadai negara’ dan ‘Bersih anjur seks bebas’. Ini kebodohan yang tidak dapat dibantu.

Di sebalik kebodohan ini pasti ada cerdik pandainya juga, yang mengeluarkan biaya buat beli kemeja t, nasi bungkus, rokok seludup, duit tambang dan topi percuma, sekali dengan banner warna-warninya.

Mungkinkah pimpinan UMNO akan…

Apa agaknya strategi cerdik pandai UMNO ini dalam mendepani Bersih dengan keadaan Menteri Dalam Negeri buat seolah tidak peduli, malah dia sendiri tidak dipedulikan pihak berkuasa lagi.

Kalau UMNO nakal, ia tidak akan langsung benarkan media massa, yang semuanya di bawah kawalannya, buat liputan media. Sekali lagi melopong segelintir wartawan, termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), yang mahu perjuangkan kebebasan media. Yang lainnya cuma “Carma” seperti kata Pak Samad Said.

Taktiknya untuk jadikan seolah-olahnya perhimpunan itu tidak berlaku. Dan kemudian mungkin tidak pula menghadirkan sebarang kawalan keselamatan. Selain mungkin beberapa kerat Cawangan Khas, pakai kasut kulit, beg selempang buat simpan gari, pegang kamera mahal, cermin mata hitam sangkut di baju, walkie-talkie di poket belakang.

Mungkin juga dalam keadaan tidak ada sebarang kehadiran polis itu, disebarkannya kemeja T Bersih 2.0 yang dirampasnya dahulu kepada para samseng, dan disuruhnya mengamuk di tengah-tengah acara duduk bantah.

Tanpa kehadiran pihak keselamatan, tiada yang punya kekuatan untuk menghalang kegilaan mereka ini. Sama kesnya seperti kejadian sepak terajang oleh para samseng upahan terhadap anak mahasiswa di Dataran Merdeka tempoh hari. Ada segelintir polis tetapi slow motion pula gerak langkahnya.

Atau mungkin yang bakal memeranjat puluhan juta rakyat Malaysia, akan ada pemimpin dan ahli UMNO mengambil jalan bijak dan ikut serta perhimpunan duduk bantah 28 April ini, dengan niat tulus ikhlas membersihkan sistem pilihanraya di Malaysia supaya menang kalah ditentukan secara adil dan saksama, dan bukan dengan perbuatan bacul yang bakal menggadai maruah dan masa depan negara dengan bergantung kepada undi warga asing.

Apakah para pemimpin UMNO percaya bahawa survival parti hanya boleh mengangkatnya kembali ke parlimen dengan undi para buruh dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar? Atau memang sungguh UMNO itu politiknya gasar dan biadap kerana takut kalah, dengan lebih senang menghantar askar upahan untuk bikin kacau bilau.

Bagi rakyat, pimpinan adil dijunjung, regim zalim disanggah. Itu budaya semua insan global tanpa mengira kaum, agama dan adat resam. – Roketkini.com