Berita

Hukuman terhadap pelajar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) membuktikan pindaan-pindaan AUKU hanyalah kosmetik

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Hukuman berat terhadap pelajar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Mohd Zaini Izuwan (25 tahun), membuktikan pindaan-pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1972 (AUKU) hanyalah kosmetik dan tidak mencukupi.

Pelajar tersebut baru-baru ini telah digantung pengajian selama 66 hari dan didenda RM100 kerana didakwa menganjurkan sebuah program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengundi yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan pro-pembangkang.

Zaini membantah keputusan tersebut kerana menurutnya dia hanyalah pemerhati, bukan penganjur. Zaini juga mengadu bahawa dia tidak dibenarkan membawa sebarang saksi mahupun menyoal kembali saksi-saksi pihak ‘pendakwaan’ semasa perbicaraan displin tersebut.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, kejadian tersebut yang berlaku hanya 2 hari selepas ‘pindaan’ AUKU yang kononnya memberikan mahasiswa lebih kebebasan membuktikan bahawa tiada kesungguhan daripada Barisan Nasional untuk melakukan reformasi.

“Ia juga membuktikan betapa pindaan-pindaan tersebut jauh daripada apa yang diperlukan demi menjamin ruang dan peluang untuk mereka  bersuara,” tambah beliau lagi

Menurut MP Petaling Jaya Utara itu lagi, “Meskipun Rang Undang-Undang Pindaan membenarkan mahasiswa untuk menyertai parti politik, Akta baru ini memberikan kuasa mutlak yang penuh kepada pihak Universiti untuk menentukan aktiviti dan persatuan yang ‘menjejaskan’ kepentingan universiti.”

“Sebagai contoh Klausa 15(2)(b) Rang Undang-Undang Pindaan AUKU dengan jelas mengatakan bahawa pelajar universiti tidak dibenarkan menyertai mana-mana persatuan, kumpulan mahupun orang perseorangan yang dianggap tidak sesuai oleh pihak universiti.”

“Tambahan pula Klausa 15(4)(b) juga membenarkan universiti untuk menafikan hak pelajarnya untuk bercakap, meskipun ia adalah berkaitan subjek pembelajaran mahasiswa dalam mana-mana simposium mahupun seminar yang dianjurkan oleh mana-mana organisasi ataupun individu yang dianggap tidak sesuai oleh universiti,” kata beliau lagi.

Menurut beliau lagi, jika pun benar Mohd Zaini telah pun menganjurkan acara untuk “meningkatkan kesedaran masyarakat  tentang kepentingan mengundi”, tindakan UNIMAP ini amat tidak berasas sekali dan ia menunjukkan bahawa pindaan baru ke atas AUKU jauh tersasar daripada memberikan kebebasan akademik dan politik kepada mahasiswa.

Pua menuntut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin untuk mengambil tindakan terhadap UNIMAP kerana mengambil langkah yang tidak berasas ke atas seorang pelajar yang tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap universiti tersebut.

“Kita juga mahukan Menteri untuk menarik semula pergantungan Mohd Zaini untuk membuktikan beliau ikhlas untuk menjadikan universiti-universiti Malaysia sebagai institusi pembelajaran yang ulung dan holistik, bukannya pusat pemenjaraan minda.” Roketkini.com