Berita

Nasib rakyat Malaysia di tangan warga asing?

KOTA KINABALU, 24 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dibidas kerana tidak bertindak berani menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagaimana yang telah diluluskan oleh Parlimen melalui laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) baru-baru ini.

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Dr. Hiew King Cheu berkata, sikap Najib yang tidak berani mewujudkan RCI itu adalah disebabkan kekhuatiran kerajaan Barisan Nasional sendiri terhadap siasatan tersebut yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

“Masalah pendatang asing tanpa izin di dalam negara ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat sepertimana yang telah didengar di Parlimen baru-baru ini.

“Menteri Dalam Negeri sendiri dalam jawapan bertulisnya menunjukkan bahawa sejumlah besar angka pendatang asing yang memasuki negara ini adalah secara haram dan tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan..

Menurut Dr Hiew, sejumlah besar pengundi baru dalam daftar pemilih berada di dalam kategori ‘Lain-lain’ merupakan satu petunjuk dan masih ramai lagi yang akan berada di dalam senarai pemilih 2012.

Katanya, seramai 1,303,126 PATI yang berdaftar dalam program 5P dan 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) adalah satu ancaman kepada negara. Malah, jumlah itu tidak termasuk sebilangan besar PATI yang berselindung dan tidak berdaftar.

Sehingga kini, Selangor mencatatkan jumlah PATI yang tertinggi, iaitu sebanyak 353,306 orang yang didaftarkan, diikuti Kuala Lumpur (330,321), Sabah (161,548) Johori (126,064) dan Labuan (589).

Sikap acuh tak acuh kerajaan BN telah memaksa masyarakat madani dengan sokongan Pakatan Rakyat untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih melalui Himpunan Duduk Bantah BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

Ini adalah kali ketiga perhimpunan aman BERSIH diadakan untuk menuntut kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan keraguan status pengundi dalam daftar pemilih, termasuk wujudnya warga asing yang menjadi pengundi. Namun, SPR sering kali bersikap tidak peduli, menimbulkan persepsi bahawa ia berpihak kepada kerajaan BN, dan bukan melaksanakan amanah melaksanakan keadilan demi kepentingan rakyat..

“Perkara yang paling membimbangkan ramai adalah ada antara PATI telah menjadi rakyat Malaysia terutamanya di Sabah melalui cara yang tidak sah. Perkara ini berlaku berikutan peningkatan mendadak populasi rakyat di Sabah beberapa tahun kebelakangan ini berbanding negeri lain,” katan Dr Hiew.

Beliau juga menolak alasan kerajaan kononnya pertambahan PATI di Sabah adalah kerana persisiran pantai Sabah yang panjang dan sukar untuk mengawal kemasukan mereka.

Menurutnya, alasan itu tidak masuk akal kerana persisiran pantai Sarawak lebih panjang tetapi tidak wujud masalah pendatang tanpa izin  di negeri itu..

Malah, katanya, alasan kerajaan BN tidak boleh dipakai kerana sudah banyak dakwaan daripada rakyat Malaysia di Sabah bahawa PATI dengan mudahnya keluar masuk ke negeri dan negara ini sesuka hati.

“Pengaruh dan kesan kemasukan PATI sangat besar kepada kestabilan, keselamatan dan ekonomi negara. Peluang pekerjaan masyarakat tempatan telah dirompak akibat kemasukan tenaga buruh murah ini, termasuk yang masuk secara haram,” ujarnya. – Roketkini.com