Berita

Pusat bahasa, tuisyen dan akademi badminton akan dibina dekat Kampung Buah Pala

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

GEORGE TOWN, 24 APRIL: Sesuai dengan konsep negeri berkebajikan, kerajaan negeri Pulau Pinang akan membina Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (PLC) dan Akademi Badminton Pulau Pinang (PBA) berhampiran Kampung Buah Pala. Kos pembinaan RM4 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta.

Pembinaan kedua-dua pusat itu dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengalu-alukan inisiatif sosial Yayasan ECM Libra untuk membina PLC dan PBA. Yayasan itu diterajui oleh tiga rakan kongsi Lim Kian Onn, Kalimullah Hassan dan David Chua Ming Huat

Katanya, tanah seluas 2.9 ekar milik kerajaan negeri ini terletak berhampiran Kampung Buah Pala di Sri Delima dan Bukit Gelugor. Pembinaan PLC dan PBA akan memenuhi keluasan sebanyak 1 ekar. Apabila siap, 2 buah bangunan tersebut akan diserahkan kembali kepada kerajaan negeri yang juga akan menguruskan dua bangunan tersebut.

Menurutnya, PLC dan PBA akan menyediakan sebuah perpustakaan, 7 kelas bahasa dan tuisyen, 6 hingga 8 gelanggang badminton dan kantin.

Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa antarabangsa, selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang percaya bahawa PLC dan PBA akan memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi yang unik di mana pelajar yang kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam badminton. I

“ Ini merupakan perpustakaan pertama yang dibina oleh Kerajaan Negeri PR dan juga merupakan Akademi Badminton Pulau Pinang yang pertama di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, ECA International mengesahkan George Town sebagai bandar yang paling sesuai didiami di Malaysia, menduduki tangga ke-8 di Asia dan 73 di peringkat global.

George Town mendahului Kuala Lumpur buat pertama kalinya pada 2011 apabila mengekalkan kedudukannya sebagai bandaraya paling selamat didiami di Asia manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 9.

“George Town membuktikan bahawa pencapaian ini adalah bukan suatu kebetulan tetapi suatu fakta apabila George Town mengekalkan kedudukan bandar ke-8 paling selamat didiami di Asia pada tahun 2012, manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 10.

“Untuk George Town dan Pulau Pinang mengekalkan status kemenangan sebagai bandar yang paling sesuai untuk didiami di Malaysia, lebih banyak kemudahan rekreasi dan pembelajaran diperlukan,” kata Guan Eng yang juga Adun Air Putih.

Menurutnya, kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih kepada Yayasan ECM Libra yang telah banyak menyumbang ke arah menggalakkan pendidikan dan penguasaan bahasa terutamanya untuk generasi muda.

Ini akan membantu Pulau Pinang mencapai aspirasi menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat, tambah beliau.

Beliau juga berharap Akademi Badminton Pulau Pinang akan melahirkan lebih ramai juara badminton dunia dari Pulau Pinang pada tahun- tahun yang akan datang. – Roketkini.com