Rencana

Bersih demi kedaulatan Malaysia – Oleh Hafiz Zainuddin

Berdasarkan statistik program penyelesaian menyeluruh pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin 6P di Semenanjung dan 5P di Sabah, kita boleh membayangkan sekurang-kurangnya di Selangor dan Kuala Lumpur jumlah tenaga kerja asing tanpa izin, atau kita kenali dengan nama Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), boleh memenuhi lebih dari enam stadium Bukit Jalil.

Jika kita ambil keseluruhan jumlah yang berdaftar, ia sudah hampir menyamai jumlah penduduk Pulau Pinang.

Itu yang berdaftar, belum termasuk PATI yang menyorok dan pendatang asing yang sah. Dan, jika benar dakwaan bahawa banyak warga asing diberikan MyKad tanpa melalui prosedur yang sepatutnya.

Ingatkah kita kepada pendedahan tentang 240 PATI di Astana Dugang Country Resort, Putrajaya, pada 12 Oktober lalu? Dengan situasi mencurigakan, diiringi pihak polis, mereka dikatakan sedang menjalani kursus keusahawanan! Ia dilihat pelbagai pihak sebagai menguatkan lagi kemungkinan wujudnya sindiket pemberian MyKad kepada warga asing.

Isu pendatang asing mendapat MyKad ini bukanlah baru. Ia sudah menjadi ‘rahsia umum’. Malah, isu kad pengenalan diberi secara ‘pukal’ ini telah wujud sejak zaman Mahathir lagi sepertimana “Projek IC Sabah” yang telah lama kita ketahui.

Persoalannya, apakah kita mahu pekerja asing yang baru setahun dua bekerja di Malaysia mendapat MyKad? Apalagi mereka belum sempat pun menghafal lagu negaraku dan rukun negara. Jauh sekali mengenal kuih bulan, ketupat dan dodol.

Dengan MyKad, selain cuma perlu membayar RM1.00 untuk pendaftaran di klinik dan hospital kerajaan, mereka juga boleh mendapat biasiswa MARA dan pinjaman PTPTN, serta mereka juga mendapat kelebihan untuk mengundi.

Kelebihan warga asing ini untuk mengundi bererti kelebihan untuk menentukan masa depan negara, masa depan kita dan masa depan anak-anak kita.

Tulisan ini bukan untuk mengajak orang membenci pekerja asing. Golongan ini telah turut banyak berjasa. Kemasukan pekerja asing dalam sesebuah negara untuk memenuhi permintaan pasaran adalah perkara lazim di negara-negara maju maupun membangun. Kemasukan mereka dalam arus pembangunan negara amat dirasai.

Bayangkan cermin-cermin di KLCC tanpa buruh India yang mencuci. Bayangkan Midvalley dibina tanpa buruh Indonesia, Bangladesh, Myanmar maupun Nepal. Bayangkan The Curve dan Mid Valley tanpa ibu-ibu yang mencuci tandas dan mengemop lantai, bayangkan kedai-kedai tomyam tanpa orang Patani dan bayangkan kedai-kedai runcit di KL tanpa orang Aceh yang rajin.

Semua manusia berhak untuk hidup, mencari nafkah dan sebagainya. Justeru, segala jerih perih mereka di bumi bertuah ini, dari pencuci tandas, pencuci pinggan, pekerja seks, pengait sawit sehingga juruteknik kilang dan kepala tukang; semua mereka punya satu harapan, iaitu untuk terus hidup. Sama seperti kita.

Sebagai seorang ahli DAP, saya setia dengan arah parti saya yang memperjuangkan hak asasi manusia seperti yang terangkum dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya percaya parti ini yang perjuangan murninya tidak dibatasi dengan kaum, agama maupun budaya sekalipun tidak akan bersetuju dengan pemberian taraf kewarganegaraan sewenang-wenangnya.

Saya percaya kerana itulah ada pemimpin DAP yang telah membidas Perdana Menteri Najib Razak kerana dilihat tidak berani untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) walaupun ia telah diluluskan oleh Parlimen.

Persoalan utama ialah, bagaimana pendatang asing ini mendapat MyKad dengan begitu mudah dan cepat? Siapa pula yang meluluskan MyKad mereka? Sebagai orang Malaysia, kita sangat yakin bahawa MyKad tidak mungkin dijual seperti menjual minyak belacak di Jalan Masjid India Kuala Lumpur.

Dipercayai tujuan pemberian MyKad kepada warga asing ini hanya satu, iaitu untuk memenangkan Barisan Nasional di kawasan-kawasan tertentu. Apakah ia suatu perkara yang kita boleh terima?

Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku? Bukankah ini satu jenayah berat yang mengancam kedaulatan negara?

Kita mahu pilihan raya negara ini bukan sekadar adil, tetapi juga memanifestasikan kehendak rakyat. Apa guna pilihan raya sekiranya hak kita dinafi malah kita ditipu hidup-hidup. Ini isu seluruh rakyat Malaysia, kita harus sedar untuk menyuarakan hak kita.

Masanya sudah tiba. Sebab itu kita berhimpun dalam Bersih 1.0 sehinggalah Bersih 3.0 yang akan berlangsung 28 April ini. Demi mempertahankan kedaulatan Malaysia, daftar pemilih haruslah bersih. Tidak cukup kalau kerajaan mengumumkan “akan menyiasat”, sebaliknya ia perlu bertindak segera.

Atau, sekiranya dibiarkan berlaku, mungkin dalam beberapa tahun mendatang ini, kita akan bertemu dengan pertubuhan-pertubuhan baru yang akan bersaing dengan kita. Misalnya Pertubuhan Kebangsaan Nepalese Bersatu. Dan ketika itu, kita mungkin hanya mampu tersenyum. –end.roketkini.com