Berita

Siasat segera keganasan polis belasah rakyat

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: DAP menggesa satu siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap kejadian tembakan gas pemedih mata secara rambang yang mencetuskan keganasan dalam perhimpunan secara aman oleh 200,000 peserta duduk-bantah Bersih 3.0 di sekitar ibu kota Sabtu lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tiada justifikasi untuk polis bertindak ganas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata secara melulu dan tidak setimpal, di samping penahanan dan serangan terhadap peserta termasuk mereka yang telah bersurai dan sedang pulang.

Katanya, polis juga menyerang “berlebih-lebihan” terhadap sesiapa sahaja yang berada di kawasan sekitar termasuk wartawan media arus perdana, makah terhadap anggota polis sendiri.

Beliau mengakui bahawa pada awal tengah hari, perhimpunan aman Bersih 3.0 kelihatan aman damai, membayangkan seolah-olah Malaysia telah mencapai tahap sebuah negara demokrasi yang matang seperti di kota-kota London dan New York di mana perhimpunan aman boleh diadakan dengan saling memahami dan mendapat kerjasama polis.

“Saya merasakan ini apabila dalam perjalanan dari pertemuan di Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka, bersama-sama dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah, Datuk Seri Hadi Awang dan Mohamad Sabu.

“Kami melihat, ini bukan sahaja sebuah perayaan demokrasi rakyat Malaysia tetapi sebuah perayaan yang meliputi seluruh negara di mana rakyat Malaysia merentasi batas bangsa, agama, ideologi politik, umur dan gender bersama-sama dengan satu tujuan untuk pilihan raya di Malaysia yang bersih, bebas dan adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimana pun, Kit Siang kecewa kerana sangkaannya meleset apabila polis secara rambang menembak gas pemedih terhadap peserta himpunan aman yang berkumpul di luar Dataran Merdeka.

Perhimpunan aman Bersih 3.0 telah berlangsung dengan penyertaan sekitar 200,000 orang peserta.

Tindakan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyekat orang ramai serta menutup banyak kawasan di ibu kota jelas menunjukkan sikap tidak menghormati hak dan kebebasan rakyat.

Tindakan pihak berkuasa yang dipertahankan oleh Perdana Menteri Najib Razak juga jelas membelakangkan semangat Perlembagaan yang telah menyebabkan berlakunya insiden provokasi dan kekacauan.

Dalam perhimpunanan aman itu yang dipaksa menjadi kacau akibat tindakan ganas polis, lebih 500 orang peserta telah ditahan pihak polis. Banyak pula cedera dibelasah polis dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – Roketkini.com