Berita

Gaji minima: Pakatan jauh lebih ikhlas daripada BN

Gambar ehsan facebook.com/cmlimguaneng

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Penetapan gaji minima RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak oleh kerajaan Barisan Nasional bukan sahaja mendiskriminasi pekerja tetapi menunjukkan kurang komitmen Datuk Seri Najib Razak untuk membasmi kemiskininan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pengumuman Perdana Menteri menetapkan gaji minima bagi sektor swasta pada kadar RM900 sebulan untuk pekerja di Semenanjung dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak adalah sangat tidak mencukupi kerana ia adalah lebih rendah daripada gaji minima yang disyorkan Pakatan Rakyat iaitu RM1,100 sebulan.

Katanya, PR telah mencadangkan RM1,100 sebagai gaji minima yang merangkumi semua elaun tetapi tidak termasuk bayaran lebih masa.

Menurutnya, walau pun ia akan membawa sedikit kelegaan kepada satu pertiga pekerja di negara ini yang kini berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan, hakikatnya RM800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak bermakna bahawa pekerja-pekerja di sana akan terus hidup dalam kemiskinan.

“Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9, garis kemiskinan (PLI) adalah RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 di Sabah. Ini adalah kerana kos sara hidup di kedua-dua negeri itu adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung, yang mempunyai PLI RM720 sebulan.

“Dalam erti kata lain, meskipun gaji minima RM800 dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, ia masih lagi jauh d bawah PLI yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, gaji minima RM1,100 sebulan yang dicadangkan PR berupaya untuk memenuhi keperluan asas pekerja-pekerja di serata negara.

Menurutnya, kerajaan pusat perlu sedar bahawa Malaysia sedang menjadi negara penghutang di mana isi-isi rumah membelanjakan semua atau lebih daripada pendapatan mereka.

“Sebagai contoh, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.”

“Oleh itu, gaji minima tidak mencukupi tanpa dua pertimbangan yang mustahak. Pertama, kuantum gaji minima haruslah dikaitkan secara langsung kepada Indeks Harga Pengguna, supaya ia akan disesuaikan dengan kadar inflasi. Ini akan memastikan taraf dan kualiti kehidupan tidak terjejas dan akan dilindungi.

“Kedua, usaha menaikkan taraf kehidupan rakyat Malaysia memerlukan strategi ekonomi yang tuntas dan disasarkan kepada kenaikan pendapatan boleh guna,” ujarnya..

Dalam erti kata lain, menurutnya, sesebuah kerajaan harus memastikan rakyat mempunyai lebih banyak wang dalam saku, dan ini tidak boleh dilakukan hanya dengan menetapkan gaji minima yang munasabah.

Menurutnya lagi, kerajaan harus melabur dalam sektor-sektor utama seperti pengangkutan awam, perumahan dan kesihatan. Jika kos sara hidup diturunkan, pendapatan boleh guna akan meningkat.

“Konsepnya adalah mudah – jika kos dikurangkan untuk perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, membeli rumah dan membayar bil kesihatan, maka semua orang akan mempunyai lebih banyak wang.

“Bayangkan sekiranya setiap rakyat Malaysia mempunyai RM10 lebih setiap hari, kesan pengganda ekonomi adalah besar iaitu RM280 juta lebih akan diedarkan dalam ekonomi setiap hari,” jelas Guan Eng.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan Pakatan Pulau Pinang komited kepada cadangan PR iaitu RM1,100 sebulan dan sebenarnya sudah pun mencapai gaji minima RM1,100 (termasuk elaun dan COLA) tanpa mengira bayaran lebih masa.

“Semua kakitangan kerajaan di dalam semua agensi kerajaan negeri dan GLC di Pulau Pinang serta majlis-majlis perbandaran MPPP dan MPSP mempunyai pendapatan lebih daripada RM1,100 sebulan.

“Tahun lepas, penyapu jalan dan pencuci longkang di MPPP dan MPSP juga telah diberi insentif bulanan sebanyak RM150 sebulan.” ujarnya lagi. – Roketkini.com