Rencana

DILEMA – Hari Kegelapan Media

Hari ini 3 Mei kita merayakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dengan satu lagi detik hitam dalam sejarah kewartawanan Malaysia yang sememangnya tidak pernah benar-benar bebas sejak penyerahan kuasa daripada penjajah Inggeris kepada UMNO yang mengetuai Perikatan pada tahun 1957.

Dengan hanya satu usaha rakyat prihatin untuk duduk-dan-bantah Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, kerajaan UMNO-Barisan Nasional telah berjaya mencatatkan titik noda dengan membiarkan pihak berkuasa memukul dan memangsakan wartawan.

Bukan sahaja wartawan media internet tetapi juga dari media arus perdana yang sememangnya dikawal oleh UMNO-BN telah menjadi mangsa keganasan dan rusuhan polis pada 28 April.

Menurut laporan Centre for Independent Journalism Malaysia (CIJ), sembilan wartawan telah menjadi mangsa, termasuk dipukul polis, dirampas atau dipecahkan kamera serta menjadi mangsa tembakan gas pemedih mata.

Para wartawan adalah dari akhbar The Sun, the Malay Mail, Makkal Osai dan  Guan Ming Daily, serta laman web berita Malaysiakini, Malaysian Insider dan Merdeka Review, dan agensi berita antarabangsa Al Jazeera dan Channel News Asia.

Lebih dari itu, saban hari sejak sebelum Bersih 3.0, media arus perdana hingga saat ini masih menyiarkan berita, laporan dan suara propaganda UMNO-BN tanpa memberi sebarang ruang kepada wakil-wakil rakyat prihatin.

Segala macam video, termasuk dari pihak polis yang melakukan keganasan terhadap rakyat sewaktu perhimpunan Bersih 3.0. disiarkan dari sudut satu pihak sahaja tanpa mendedahkan kebenaran sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu, laporan-laporan media antarabangsa seperti BBC dan Al Jazeera juga telah ditapis untuk menutup suara rakyat Malaysia yang bangkit menuntut pilihan raya yang adil, bersih dan bebas.

Inilah dia bukti bahawa janji-janji manis Datuk Seri Najib Razak hanyalah kesinambungan pembohongan UMNO-BN sejak zaman-berzaman.

Sejak sekian lama pemerintah yang telah menutup ruang kebebasan media untuk datuk nenek serta ibu bapa kita, sehingga hari ini mereka mahu kita sebagai rakyat hidup seperti katak di bawah tempurung.

Apa yang dikatakan transformasi Perdana Menteri hanyalah satu mimpi ngeri yang akan menjadi realiti pahit dan zalim jika UMNO-BN terus kekal berkuasa. Jika pencerahan tidak dituntut, selamanya kegelapan akan memanjang. – Roketkini.com