Berita

Guan Eng minta BERNAMA perbetul laporan tentang Bayan Mutiara

Gambar ehsan facebook.com/cmlimguaneng

GEORGE TOWN, 3 MEI – Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini meminta Bernama membetulkan laporan mengelirukan berkenaan jawapan beliau dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam berkaitan penjualan tanah Bayan Mutiara secara tender terbuka.

“Saya berasa kesal bahawa pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Bernama telah menyalahgunakan kebebasan untuk membuat laporan mengelirukan tentang jawapan saya.”

Menurut Lim, beliau mengakui bahawa kerajaan negeri tidak mengikut penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta kerana anggaran harga itu adalah terlalu rendah.

“Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dalam surat bertarikh 5 November 2009 telah menganggarkan harga sebanyak RM65 sekaki persegi.”

“Sebaliknya kerajaan negeri tidak mengikuti harga R65 sekaki persegi dan menetapkan harga rizab sebanyak RM 200 sekaki persegi, iaitu lebih 3 kali ganda daripada penilaian Jabatan Penilaian.”

Beliau berkata, dalam tender terbuka yang ditutup pada 31.12.2010, pemaju yang menawarkan harga paling tinggi, iaitu sebanyak RM240 sekaki persegi, atau RM1.07 bilion untuk 102.56 ekar, telah dipilih.

Menurutnya lagi, malangnya dalam laporan semalam, Bernama enggan menyiarkan harga penilaian RM65 sekaki persegi yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian sebaliknya hanya pengakuan bahawa beliau tidak mengikut harga penilaian Jabatan Penilaian.

“Ini akan memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri telah menetapkan harga yang lebih rendah daripada yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian.

“Biasanya kerajaan BN tidak memakai tender terbuka dan akan menetapkan harga yang lebih rendah daripada harga Jabatan Penilaian,” tambahnya lagi.

Bercakap kepada media, beliau berkata, demi mengelakkan gambaran yang mengelirukan, pejabatnya telah meminta Bernama membetulkan laporan mengelirukan ini dengan menyiarkan harga penilaian oleh Jabatan Penilaian tetapi Bernama enggan buat demikian.

“Saya kesal dengan keengganan Bernama menyiarkan semua fakta berkaitan yang jelas disengajakan agar memberikan laporan yang mengelirukan.”roketkini.com