Berita

Sepakat kita berubah!

IPOH, 3 MEI: Reformasi politik Malaysia akan hanya berjaya jika semua rakyat prihatin berani memulakan langkah untuk membasmi pemikiran sempit politik perkauman yang menjadi racun kepada perpaduan antara kaum dan agama.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata, usaha itu telah dan akan terus dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat, termasuk di negeri Perak, sebagai alternatif kepada politik perkauman yang ditaja oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Katanya, melalui usaha itu, tenaga rakyat dapat digembleng untuk melahirkan satu reformasi penuh, termasuk reformasi pilihan raya yang selama ini dilakukan dengan kotor dan jijik oleh kerajaan UMNO-BN.

“Kita mahu kepada pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Sehubungan dengan itu juga, Pakatan Rakyat Perak sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kali ini walau pun sedar kita terpaksa berhadapan dengan segala fitnah,” katanya kepada Roketkini selepas perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat Perak 2012 di sini Isnin dan Selasa lalu.

Konvensyen dua hari tersebut membawa tema ‘Sepakat kita berubah’ dihadiri oleh kesemua pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak termasukk Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Pengerusi PKR Negeri Perak Mohd Nor Manuty.

Badan-Badan bukan kerajaan (NGO) juga diberi ruang berucap seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Mahasiswa Bersatu Perak, Pastors Fellowship, Yayasan Orang Asli Perak, Dong Zhong dan lain-lain.

Dalam perbahasan usul-usul, DAP diwakili oleh Fairuz Azhan dan Kasthuri Patto manakala ahli DAP Howard Lee mewakili Pemuda Pakatan Rakyat dalam sesi tersebut.

Acara kemuncak dan penutupan Konvensyen Rakyat Perak 2012 dihadiri oleh Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Ketua Wanita DAP Chong Eng, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, Ketua Pemuda DAP Perak Wong Kah Woh dan Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar. – Roketkini.com