Rencana

Tun M dan Najib yang bijak laksana… Oleh : Mazir Ibrahim

Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menyifatkan perhimpunan aman Bersih 3.0 bukanlah satu perhimpunan untuk menuntut pilihan raya yang adil sebaliknya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan jalan keganasan.

Andaian tersebut diperkuatkan lagi dengan kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Mahathir.

Rasional beliau cukup mudah iaitu, beliau percaya bahawa rakyat yang berhimpun di Dataran Merdeka itu kelak akan mengambil kesempatan untuk meng‘occupy’ hingga menjadi Dataran Tahrir di Mesir.

Sekalipun benar seperti andaian PM dan bekas PM ini, pastinya kerana mereka gerun apabila melihat kesudahan perhimpunan di Dataran Tahrir itu akan menimpa ke atas mereka.

Kenyataan mereka itu juga menggambarkan seolah-olah cuaca di Mesir adalah sama dengan cuaca di Malaysia, tamadun dan sejarah Mesir sama dengan Malaysia, budaya orang Mesir sama dengan budaya masyarakat Malaysia. Malah rejim UMNO mendakwa, perhimpunan aman Bersih ini ditaja oleh ‘anasir’ luar untuk mensabotaj kerajaan dengan ancaman aktiviti subversif.

Jika benarlah demikian, maka secara tidak sedar Najib Tun Razak mengesahkan sendiri bahawa kerajaan beliau sama sahaja dengan regim Hosni Mubarak – kerajaan yang salah dan takut kepada rakyat.

Biarpun pada hemat kita andaian ini cetek dan simplistik. Mesej daripada kesemua andaian ini sangat jelas, iaitu untuk mengalih pandangan rakyat agar bersetuju dengan andaian kerajaan UMNO BN.

Tujuan di sebalik andaian ini adalah supaya rakyat tidak memahami agenda sebenar Bersih 3.0.

Taktik ini sama sahaja apabila suatu waktu dulu Tun M, ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau telah menyamakan gerakan reformasi di Malaysia dengan reformasi Indonesia.

Ketika itu, reformasi di Indonesia telah digambarkan dengan wajah-wajah buruk. Gambaran ini dicipta oleh media-media balaci UMNO seperti Utusan Malaysia. Maka, reformasi di Indonesia yang sampai kepada rakyat adalah imej-imej buruk yang penuh dengan keganasan.

Persoalan tentang hakikat sebenar reformasi di Indonesia pada masa itu telah dihijab dari pengetahuan kita dari memahami isi sebenar makna reformasi yang dibawa oleh gerakan rakyat Indonesia.

Gambaran reformasi rakyat Indonesia yang menentang regim zalim Suharto, telah digambarkan oleh Tun M menerusi media balacinya sebagai gerakan keganasan yang diatur oleh anasir luar (CIA). Maka tujuannya juga sama iaitu untuk memberikan imej buruk kepada kita rakyat Malaysia dengan harapan reformasi di Malaysia gagal.

Kedua-dua pemimpin ini cukup bijak laksana bomoh untuk menutup minda kita dari berfikir, melihat dan memahami apa sebab dan tujuan rakyat berhimpun atau berdemonstrasi.

Sebaliknya mereka mereka-reka punca atau tujuan berdemonstrasi itu sebagai ‘untuk menjatuhkan kerajaan menerusi cara keganasan’. Konotasi berhimpun atau demonstrasi itu telah ditafsir dan diberi imej yang sama sekali salah dari konteks dan maksud asal.

Keadaan ini mengesahkan lagi teori “sejarah ditulis oleh pihak yang menang.” Tetapi kali ini, “fakta ditulis oleh yang berkuasa.”

Kerajaan UMNO BN cukup banyak memberi maksud yang salah dalam perkataan atau konsep baru yang dianggap mereka sebagai memberi ancaman kepada rejim mereka.

Contohnya, perkataan ‘menjatuhkan’ kerajaan. Perkataan ini diolah hingga menjadi konotasi yang negatif, sedangkan kita tahu bahawa kerja hakiki mana-mana parti oposisi di seluruh dunia memang untuk menjatuhkan kerajaan dan menggantikannya dengan kerajaan dari parti mereka.

Namun dalam konteks politik di Malaysia, telah jelas bahawa parti oposisi iaitu Pakatan Rakyat ingin menukar kerajaan menerusi cara yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dengan jalan pilihanraya. Inilah cara sebenar Pakatan Rakyat nak ‘menjatuhkan’ kerajaan cuai UMNO BN.

Tetapi apabila perkataan ‘menjatuhkan’ itu digunakan oleh daulah yang memerintah seperti UMNO, maka perkataan itu sememangnya sinonim dengan penggunaan perlakuan, cara atau kaedah yang salah untuk menukar kerajaan. Maka makna ‘menjatuhkan’ kerajaan itu telah membawa faham yang salah, yakni keganasan.

Sebelum kita terlupa, “menjatuhkan kerajaan” itu juga sebenarnya bermakna nak menjatuhkan parti politik, bukan menjatuhkan Institusi Kerajaan. Jangan silap!

Contoh kedua, perkataan ‘peserta perhimpunan Bersih’, telah ditukar menjadi ‘perusuh demonstrasi’. Perkataan ini jelas memperlihatkan rejim UMNO sengaja mahu menghina niat dan tujuan murni peserta-peserta perhimpunan aman Bersih.

Perkataan perusuh ini digambarkan lagi dengan imej-imej anggota polis tercedera, kereta polis terbalik, tong sampah terbakar, sampah sarap berselerak.

Bukan pula kita ingin menafikan keadaan itu. Namun, apakah realiti sebenar di sebalik imej-imej itu?

Adakah wartawan kita dilayan dengan baik ketika Bersih 3.0? adakah mereka yang cedera itu bukanlah kerana dipukul sebaliknya hanya bintat kerana dicium oleh abang-abang polis? Atau adakah air yang ditembak itu air zam-zam untuk menghilang dahaga peserta Bersih? Gas yang disembur itu minyak wangi?

Hakikat ini telah dibungkus senyap oleh media daulah UMNO. Inilah ‘keadilan media’ menurut andaian UMNO BN.

Bagi makcik dan pakcik di Felda, apabila terbaca tentang ‘keganasan perusuh’ dan melihat imej kereta polis terbalik, pastilah hatinya terbakar hangus melihat suasana dan membaca berita-berita ini bukan?

Siapakah yang bertanggungjawab menggambarkan imej-imej buruk ini ?

Tun M dan Najib sememangnya bijak, tetapi tidak cukup bijak.

Ingin kita tegaskan kembali – Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 adalah untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil. Salahkah menuntut hak untuk mendapat keadilan?roketkini.com