Berita

BN tetap gaji minima di bawah paras garis kemiskinan

KUALA LUMPUR 8 MEI – Penetapan gaji minima oleh BN iaitu sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak bagi sektor swasta ‘bukan perkara yang betul’ untuk dilaksanakan kerana ia berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) untuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak berkenaan paras gaji minima sektor swasta tersebut sebagai tidak tepat kerana ia berada di bawah PGK.

Menurut Lim Guan Eng, walaupun DAP bersetuju dengan Najib untuk menjamin agar wujud imbangan yang sebenar antara pekerja yang layak dan keperluan majikan, BN mungkin kehilangan imbangannya sendiri untuk menetapkan gaji minimum bulanan di bawah PGK iaitu sebanyak RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 sebulan bagi Sabah bersesuaian dengan Rancangan Malaysia ke-9.

“Najib sepatutnya memecat penasihat ekonomi kanannya sekiranya beliau masih percaya bahawa gaji minimum sebulan yang telah ditetapkan mengambil kira faktor-faktor yang dicadangkan oleh Bank Dunia seperti kos sara hidup, indeks garis kemiskinan dan kadar pengangguran.

“Dengan peningkatan produktiviti sebanyak 6.7 peratus setahun, tetapi perolehan gaji sebenar cuma 2.6 peratus setiap tahun, cadangan BN bagi gaji minimum terlalu rendah dan tidak mencukupi.”

Menurut Setiausaha Agung DAP itu lagi, ia lebih rendah dari cadangan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak RM1,100 sebulan yang mana ia termasuk elaun tetap tetapi tidak termasuk bayaran lebih masa.

Katanya lagi, penetapan gaji minima RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak yang ditetapkan Kerajaan BN bukan sahaja tidak mencukupi dan mendiskriminasi pekerja tetapi juga menunjukkan BN tidak bersungguh-sungguh terhadap komitmen untuk mengurangi kemiskinan tegar apabila ia jauh dari paras kemiskinan untuk Malaysia Timur.

“Ini kerana kos sara hidup di Sabah dan Sarawak jauh lebih tinggi dari di Semenanjung yang menunjukkan PGK Cuma sebanyak RM720 sebulan.

“Dalam kata lain, jika gaji minimum RM800 dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, ia masih jauh di bawah PGK sepertimana didefinisikan sendiri oleh Kerajaan Malaysia.”

Menurut beliau, Malaysia sedang menuju kepada negara penghutang di mana sesebuah keluarga berbelanja melebihi gaji yang mereka peroleh.

“Laporan Tahunan Bank Negara 2011 yang mendedahkan bahawa  hutang isi rumah di Malaysia sehingga penghujung 2010 ialah RM581 billion atau 76 peratus dari KDNK, sekaligus telah memberi kita penghormatan kerana mempunyai tahap kedua tertinggi hutang isi rumah di asia selepas Korea Selatan”

Menurut beliau lagi, nisbah hutang isi rumah Malaysia berada pada tangga 47.8 peratus pada 2010.

“Bermakna hampir separuh dari purata pendapatan keluarga digunakan untuk membayar hutang.

Bahkan menurut Guan Eng, gaji minima tidak mencukupi tanpa pertimbangan untuk dua perkara.

“Pertama, gaji minima perlu diselaraskan dengan indeks Harga Pengguna yang mana boleh dilaraskan dnegan kadar inflasi. Ini akan memastikan taraf dan kualiti hidup dapat dilindungi dan dikekalkan.

“Kedua, peningkatan taraf hidup di Malaysia memerlukan satu strategi ekonomi bersifat holistik yang menyasarkan kepada pendapatan boleh guna (disposable income).

“Dalam kata lain, kita perlu menambah wang dalam poket rakyat. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan dengan penetapan gaji minima.”

Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut menjelaskan, dalam gambaran yang lebih meluas, kita perlu mengenal pasti kesan gaji rendah akibat kemasukan pekerja asing tidak mahir, menaik taraf  kemahiran dan produktiviti pekerja tempatan dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja dari kalangan wanita.

Katanya lagi, pada masa yang sama, kerajaan perlu melabur dalam sektor utama seperti pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan. Sekiranya kos hidup rendah, pendapatan boleh guna (disposable income) akan meningkat.

“Konsep ini sangat mudah –  jika kos perjalanan, pembelian rumah dan perubatan dapat dikurangkan, setiap orang mempunyai wang lebih (untuk dibelanjakan).

“Bayangkan setiap rakyat Malaysia mempunyai lebihan RM10 setiap hari, kesan pengganda ekonomi (multiplier effect) akan menyebabkan edaran tambahan RM280 juta dalam ekonomi negara kita setiap hari. “

Katanya, ini bukan jumlah yang kecil. Sekiranya kuasa beli pengguna ditingkatkan terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dengan gaji minima yang baik sebanyak RM1,100 tidak termasuk elaun, kita akan mampu untuk meningkatkan keperluan domestik dan membentuk ekonomi yang lebih sihat di kalangan rakyat Malaysia.roketkini.com