Budaya

Bagaimana memilih kelab bola sepak, parti politik kegemaran anda? – Oleh Fairuz Azhan

Saingan bola sepak Liga Perdana Inggeris sudah hampir sampai ke penghujungnya. Perlawanan liga hanya berbaki satu perlawanan sahaja yang mana pasukan Manchester City menjadi pilihan untuk dinobatkan juara liga pada hujung minggu ini.

Apabila saya mahu menonton pasukan pilihan saya Tottenham Hotspur menentang Aston Villa tempoh hari, seorang rakan anti-bola sepak bertanya sinis kepada saya, “Mengapa pilih Tot-ten-ham, nak sebut pun susah?”

Lalu saya menberikan alasan-alasan saya, iaitu dulu saya pernah tinggal di kota London untuk satu tempoh yang lama dan pada ketika itu, pasukan ini merupakan pasukan yang paling menghiburkan untuk ditonton. Tambahan pula sewaktu saya kecil mereka telah membeli pemain idola saya iaitu Jurgen Klinsmann, iaitu penyerang paling lincah dan berskil pada zamannya.

Saya masih ingat kali pertama beliau di Stadium Hillsborough menentang Sheffield Wednesday bila mana beliau menjaringkan gol kemenangan 2-3 dalam perlawanan yang cukup hebat dan mendebarkan. Pada perlawanan berikutnya di stadium sendiri beliau menjaringkan gol yang amat hebat iaitu ‘bicycle kick’ menentang Everton.

Kehebatan beliau memang tidak dapat dipertikaikan. Beliau menjadi superstar dan penyerang utama Jerman untuk 3 edisi Piala Dunia.

Setelah mendengar penjelasan saya, rakan saya pula berkata, “Saya memang tak faham bagaimana orang memilih pasukan. Yang sokong Liverpool tu, berasal dari Liverpool ke?” Saya hanya senyum kambing tanda hormat pendapat orang yang lebih tua daripada saya.

Bagaimana bola sepak ditelevisyenkan

Walau pun ini bagaikan soalan yang sinis dan tidak serius, apakah kriteria untuk kita rakyat yang tiada afiliasi dengan sejarah pendaerahan di sana untuk memilih pasukan EPL? Bukan setakat kita menyokong, tapi kadang kala ke tahap ekstrem sehingga boleh menimbulkan pergaduhan dan perbalahan sesama rakan.

Tambahan pula, apabila tibanya pertandingan bola sepak antarabangsa seperti Kejohanan Eropah dan juga Piala Dunia, rata-rata ramai yang mempunyai pasukan pilihan masing-masing. Curahan kasih, semangat, dan sokongan untuk pasukan-pasukan kebangsaan tidak kurang fanatiknya juga di Malaysia.

Kita tak dapat menafikan kehebatan orang Inggeris dalam mempromosikan bola sepak mereka. Letupan bola sepak Inggeris bermula dengan percaturan pihak televisyen Sky yang ingin membeli hak-hak penyiaran bola sepak Inggeris sewaktu Liga Perdana Inggeris bermula pada tahun 1992. Ia dikatakan satu pertaruhan kerana sebelum ini bola sepak adalah percuma di TV biasa tetapi terhad. Kemunculan televisyen satelit dari Sky memberikan pengguna bola sepak yang tidak terhad tetapi pengguna harus membayarnya.

Pertaruhan tersebut memang terbukti berbaloi kerana rakyat Britain memang gilakan bola sepak. Apabila wang televisyen diberikan kepada kelab-kelab bola sepak di England, maka dengan itu bermulanya revolusi pemain import dalam Liga Inggeris. Eric Cantona, Dennis Bergkamp, antara pencetus revolusi. Bahkan revolusi tersebut begitu hebat sehinggakan kelab kecil seperti Middlesborough boleh mempunyai dua pemain handalan dunia iaitu Juninho dan Fabrizio Ravanelli.

Globalisasi sukan

Bagaikan ayam dan telur, semakin banyak Sky berikan pada liga, semakin menarik ia, dan semakin ramai yang ingin melanggan. Tetapi strategi pemasaran mereka tidak terhad pada England, mereka mahu menawan dunia.

Kita lihat sahaja promosi mereka bila musim berakhir, siri-siri jelajah Asia ataupun Amerika akan dibuat untuk menerokai pasaran-pasaran baru dan mencipta para kumpulan peminat yang baru. Bengkel, sesi pemain dan lagenda bertemu peminat, ‘fantasy league’ dan sebagainya merupakan alatan-alatan penting untuk memancing para peminat.

Ini dilihat amat berbeza dengan liga-liga utama lain di Eropah seperti Liga Sepanyol dan Serie A di Itali yang tidak seagresif Liga Perdana Inggeris dalam melakukan pemasaran bola sepak mereka.

Eksploitasi emosi

Apa yang jelas, strategi agresif ini sangat berkesan sehinggakan orang ramai ditekan dan dipaksa untuk memilih satu pasukan agar kelihatan ‘trendy‘ dan ‘in the zone’. Syarikat-syarikat pun mengambil pendekatan agresif yang sama untuk mengeksploitasi bola sepak.

Sebagai contoh, apabila saya menonton bola sepak di Hartamas sempena final Piala FA Inggeris, sebuah syarikat arak, dalam promosi mereka mengadakan sebuah acara pemasaran dengan slogan, “True fans drink *****”.

Sama juga dengan iklan Kejohanan Eropah TV3 yang mengambil slogan “Real fans, real football” ia ibarat satu ‘peer pressure‘ atau pun ‘ugutan emosi’, siapa yang nak tunjuk dia seorang peminat sejati, mereka harus minum arak jenama tertentu atau pun menonton sebuah siaran tertentu.

Jangan dipaksa, ia adalah minat peribadi

Di Malaysia, bukan saja bola sepak menjadi kegilaan, politik pun penuh dengan kegilaannya. Malah ugutan emosi yang berjaya dalam pemasaran bola sepak global telah menjadi mainan politik seharian.

Pemaksaan halus seperti ‘siapa Melayu, dia kena sokong UMNO. Siapa tak sokong, dialah orang tak kenang budi’ atau ‘siapa sertai DAP, merekalah si pengkhianat bangsa’ serta ‘siapa yang paling banyak keluarkan fitnah tentang DAP, dialah paling juara dalam UMNO’ telah menjadi trend politik masa kini di kalangan orang Melayu khususnya.

Tetapi seperti minat dalam bolasepak dan pemilihan pasukan yang mana kita nak sokong, ia tak perlu dipaksa. Ia harus menjadi proses semulajadi berdasarkan pengalaman yang kita rasai dan alami secara peribadi.

Jika DAP sebuah parti yang terbuka pada semua bangsa Malaysia, berjiwa adil, demokrat dan peluang saksama, serta terbukti membela kebajikan rakyat, saya rasa ia berhak untuk dipertimbangkan untuk disokong. Mungkin ada juga persamaannya dengan sokongan setia saya kepada Spurs. – Roketkini.com