Rencana

DILEMA – Apa itu BERSIH?

Kebangkitan rakyat Malaysia menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Ia bukan milik mana-mana parti politik walau pun semua parti sepatutnya menyokong usaha melaksanakan pilihan raya tanpa penipuan, manipulasi, tekanan, paksaan dan pemalsuan. Perjuangan itu selaras dengan prinsip keadilan sejagat serta sesuai dengan ajaran murni semua agama dan kepercayaan.

Apa tuntutan BERSIH?

1.      Bersihkan senarai undi
2.      Reformasikan undi pos
3.      Gunakan dakwat kekal
4.      Akses media yang bebas dan adil
5.      Tempoh kempen minima 21 hari
6.      Kukuhkan institusi awam
7.      Hentikan rasuah
8.      Hentikan politik kotor

Apa respon kerajaan UMNO-BN terhadap BERSIH?

Kerajaan UMNO-BN menolak semua tuntutan BERSIH kecuali penggunaan dakwat kekal.

Apa respon rakyat terhadap respon kerajaan UMNO-BN?

Rakyat berhimpun secara aman, termasuk duduk dan bantah, di seluruh negara dan seluruh dunia untuk menyatakan kesungguhan rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Apa respon kerajaan UMNO-BN terhadeap respon BERSIH terhadap respon kerajaan UMNO-BN?

Kerajaan UMNO-BN tidak membenarkan perhimpunan aman di Dataran Merdeka, menutup jalan-jalan utama di Kuala Lumpur, menembak gas pemedih mata dan air kimia terhadap rakyat yang berhimpun serta membiarkan polis mengganas sehingga ada segelintir peserta BERSIH bertindak balas. Dan kemudian menyalahkan segala-galanya terhadap BERSIH.

Apa respon para pemimpin besar negara?

Daripada Perdana Menteri hinggalah kepada para pecacai UMNO-BN, mereka mendakwa BERSIH mahu menjatuhkan kerajaan. Bagaimana BERSIH mahu menjatuhkan kerajaan melalui tuntutan supaya pilihan raya adil, bebas dan bersih, tidak pula dijelaskan kepada rakyat. Bagi kerajaan UMNO-BN, hanya polis yang baik, dan rakyat yang mahu kepada pilihan raya adil, bebas dan bersih adalah jahat.

Apa respon bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar terhadap BERSIH?

Beliau mendakwa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu didalangi oleh KOMUNIS yang mahu menimbulkan kekecauan di dalam negara.

“Kita perlu berjaga-jaga dan tidak memandang remeh terhadap individu pro-komunis ini memandangkan tak tahu apa agenda mereka sekarang. Individu pro-komunis ini adalah individu sama yang pernah membuat kekacauan pada tahun  1970-an sewaktu saya menjadi Ketua Polis Negara dan saya mengenali individu terbabit,” katanya kepada pemberita akhir bulan lalu.

Apa yang berlaku selepas Tun Hanif membuat dakwaan itu?

Pucuk pimpinan UMNO-BN yang menuduh BERSIH mahu menggulingkan kerajaan telah melantik Tun Hanif yang mendakwa BERSIH telah didalangi oleh komunis sebagai Pengerusi Panel Penasihat Bebas untuk mendapat gambaran sebenar mengenai BERSIH 3.0.

Apa kata Menteri tentang panel itu?

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn selaku Menteri Dalam Negeri berharap “panel penasihat bebas ini dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas, serta bahan bukti berkenaan kejadian rusuhan itu”.

Apa harapan rakyat Malaysia?

Sama-sama kita nantikan keputusan “bebas” daripada panel “bebas” yang dipengerusikan oleh Tun Hanif yang telah dilaporkan berkata bahawa BERSIH sebagai “kumpulan berbahaya…semata-mata untuk menimbulkan huru-hara dengan niat mengubah minda rakyat supaya membenci polis”.

DILEMA – Mungkin perlu diubah lagi sukatan pelajaran di sekolah dengan mengajar anak-anak kita bahawa “bebas” itu ertinya menyokong UMNO-BN. Sama seperti Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang “bebas” walau pun menjadi ahli UMNO. Sama seperti Ahli-Ahli Parlimen “Bebas” yang hanya menyokong UMNO-BN. – Roketkini.com