Berita

Hanif berat sebelah, BERSIH 3.0 bakal dimangsakan

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Perlantikan Tun Hanif Omar – yang mendakwa Bersih 3.0 didalangi oleh komunis dan mahu menimbulkan kebencian terhadap polis – sebagai Pengerusi Panel Penasihat Bebas untuk menyiasat perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan keraguan terhadap integriti, kepercayaan dan kredibiliti hasil siasatannya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebagai bekas ketua polis negara, Hanif tidak sepatutnya menjadi ahli panel siasatan, apatah lagi mengetuainya, atas sebab konflik kepentingan.

Katanya, ini adalah kerana pihak yang dituduh melakukan keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu adalah pihak polis sendiri.

Menurutnya, dengan mengutuk Bersih 3.0 secara terbuka serta mengaitkan Bersih dengan komunis, ia menonjolkan sikap Hanif yang berat sebelah yang memungkinkan hasil siasatan yang turut berat sebelah juga.

“Atas sebab-sebab ini, Perdana Menteri harus menyelamatkan atau memulihkan kredibiliti dan keyakinan umum bahawa “keadilan tidak hanya dilakukan tetapi juga dilihat sebagai dilakukan” dengan menggantikan Hanif dengan seorang yang bebas, tidak terlibat dalam politik, tidak berat sebelah dan seorang yang tegak berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, perlantikan Hanif juga menimbulkan kebimbangan rakyat dan persoalan sama ada siasatan itu akan:

* Mengaburkan kebenaran di antara keganasan polis ke atas peserta yang berhimpun secara aman;

* Menutup penderitaan mangsa-mangsa; dan

* Menjadi alasan untuk mewajarkan penipuan Barisan Nasional bahawa Bersih 3.0 merupakan cubaan rampasan kuasa atau coup d’état.

Beliau menjelaskan bahawa Hanif, yang kini menjadi timbalan pengerusi Genting Malaysia Bhd, telah mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0, dan telah menyokong dakwaan Najib Razak bahawa perhimpunan itu adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

Katanya, Hanif juga menuduh bahawa taktik menggunakan dalang pencetus provokasi untuk menyebabkan pertelingkahan dengan polis serta membawa kanak-kanak bersama dalam harapan mereka akan dicederakan, merupakan taktik yang dipelajari oleh demonstrasi pro-komunis dahulu.

“Bagaimana Datuk Seri Najib boleh menganggap Hanif sebagai seorang individu yang “kredibel, berpengalaman dan dihormati” yang akan memastikan panel siasatan itu bersih dan tidak berat sebelah, apabila Hanif sudah pun mengambil pendirian yang prejudis dan partisan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 sebagai cubaan untuk menggulingkan kerajaan?

“Yang tidak masuk akalnya, dakwaan coup d’état oleh Najib dan Hanif itu telah mengabaikan hakikat bahawa enam wartawan tempatan dan 12 jurugambar dan wartawan media asing telah dilaporkan dipukul oleh polis semasa perhimpunan Bersih 3.0,” tambah beliau. – Roketkini.com