Berita

Wacana Roketkini dedahkan budaya fitnah UMNO, jelaskan pentingnya solidariti antara kaum dan agama

SHAH ALAM, 12 Mei: Usaha mendekatkan DAP dengan masyarakat Melayu yang sering menjadi sasaran propaganda UMNO melalui media massa kawalannya termasuk Utusan Malaysia dan TV3, semakin diperhebatkan.

Antara usaha gigih itu adalah satu wacana bertajuk “Melayu, Islam dan DAP” yang telah dianjurkan oleh Roketkini.com di sini petang semalam dengan menampilkan empat panelis dari pelbagai bidang.

Mereka adalah Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, Pengarah Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Mazlee Malik.

Zairil yang memulakan sesi menjelaskan tentang fitnah yang semakin menjadi budaya para pemimpin dan pecacai UMNO sehingga mereka tidak mempedulikan lagi tata susila serta kemurnian ajaran Islam.

“Ini termasuk fitnah blogger pro-UMNO yang menuduh Ahli Parlimen (DAP) Serdang Teo Nie Ching yang membantu umat Islam di kawasan beliau dengan menghadiahkan mereka dengan naskah Al-Quran, dengan mendakwa orang Islam tidak boleh menerima kitab suci itu daripada orang kafir.

“Jelas fitnah dan dakwaan jahat itu semakin tidak masuk akal,” katanya.

Dalam sesi soal jawab, Zairil turut menjelaskan bahawa tuduhan kononnya prinsip sekular DAP bertentangan dengan Islam timbul kerana salah faham tentang makna perkataan itu sendiri.

Beliau berkata, sekular merujuk kepada proses dalam pentadbiran untuk memastikan keadilan dan peluang saksama, dan ia bukan sebagai ideologi atau bersifat anti-agama.

Menyambung penjelasan Zairil, Khalid menjelaskan, PAS menerima hujah sedemikian atas dasar ia hanya melibatkan soal pentadbiran, iaitu sebagai contoh, sesuatu dasar atau keputusan perlu dibuat atas kelayakan, dan bukan kerana agama atau warna kulit seseorang.

Katanya, PAS memang menolak sekularisme tetapi menerima hakikat bahawa hak dan peluang perlu diberikan berasaskan kepada kelayakan, dan bukannya mengikut kaum atau agama seseorang semata-mata.

Beliau juga menjelaskan bahawa Barisan Nasional, khususnya UMNO, amat bimbang dengan fenomena orang Melayu menerima kehadiran DAP, sebagaimana orang Cina serta bukan Islam menerima PAS.

“Dulu propaganda UMNO dan BN mengatakan PAS dan DAP adalah parti ekstremis, sampai kita pun percaya. Apabila kita duduk bersama, kita sedar bahawa bukan kita yang bersikap melampau,” ujarnya.

Atas sebab itulah, jelasnya, UMNO dan MCA terus memfitnah untuk menakutkan rakyat supaya tidak menerima PAS dan DAP, walau pun segala hujah mereka semuanya palsu dan bohong belaka.

Wan Saiful pula membawa konteks idealisme yang lebih meluas dengan merayu kepada rakyat supaya menghindari politik yang terlalu taksub dengan kaum dan keagamaan yang sempit.

“Jika kita terus terjebak dalam kancah perkauman dan keagamaan, ia tidak dapat membuka ruang untuk berbincang tentang hal yang lebih hakiki seperti soal dasar, soal ekonomi dan soal keadilan. Kita akan terus tersepit dengan politik yang hanya nampak kaum dan agama sahaja,” jelasnya.

Dr Mazlee yang menyatakan beliau setuju pada dasarnya dengan saranan Wan Saiful, menjelaskan bahawa memang perlu ruang dibuka untuk wacana dan forum yang lebih menjurus kepada isu-isu sebenar rakyat.

Namun, katanya, perkara yang lebih utama sekarang ialah mewujudkan kerajaan yang bersih, adil dan saksama, yang anti-rasuah, kerana itu akan membolehkan ruang wacana, sebagaimana yang dicadangkan oleh Wan Saiful, dapat dilaksanakan.

Lebih 100 orang menghadiri wacana yang diadakan itu di Dewan Annex SUK Shah Alam di sini. Penyelaras Roketkini, Mazir Ibrahim telah mempengerusikan wacana tersebut. – Roketkini.com