Berita

Bina kasih sayang, hindar kebencian

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 13 MEI:  Semua orang, termasuk kaum ibu, menolak amalan bahasa yang biadap serta lucah dan menentang tindakan yang ganas, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sempena Hari Ibu, beliau dalam perutusannya merayu kepada semua pihak supaya memilih jalan untuk mengelak keganasan dengan mengamalkan sikap sayang-menyayangi antara satu sama lain yang dapat melahirkan masyarakat madani.

“Semua rakyat Malaysia harus dianggap sebagai anak kita dengan mengamalkan kasih sayang dan menolak kebencian untuk membina negara Malaysia yang memartabatkan semua.

“Terdapat kebimbangan bahawa institusi awam kita sama ada terlibat atau membiarkan keganasan oleh pertubuhan-pertubuhan perkauman dan ekstremis seperti Perkasa,” katanya, menambah bahawa keganasan dan kebencian akan menghalang kewujudan masyarakat madani.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, masyarakat madani adalah “masyarakat yang dikongsi” dan akan membolehkan rakyat Malaysia untuk menjadikan kepelbagaian sebagai kuasa positif untuk kesaksamaan peluang dan keadilan sosial.

Tambah beliau, “masyarakat yang dikongsi” terdiri daripada empat elemen penting:

* Penyertaan demokratik dalam proses membuat keputusan;

* Menghormati kepelbagaian dan martabat individu;

* Peluang saksama; dan

* Larangan terhadap sikap dan amalan diskriminasi.

“Kita harus berdiri bersama untuk membanteras korupsi dan salah guna kuasa kerana hanya kejayaan ini akan membina kepercayaan dan membolehkan kemajuan dan pembangunan rakyat. Hanya dengan ini boleh rakyat hidup dengan martabat.

“Anak-anak kita mempunyai hak yang tidak terpisah untuk hidup dengan martabat dalam suasana yang bersih, hijau, selamat dan sihat,” ujar beliau. – Roketkini.com