Berita

Protes burger: BN, DBKL relakan cabul ruang peribadi

KUALA LUMPUR. 13 MEI: Beberapa penyokong pro-Barisan Nasional telah melakukan ‘protes burger’ dengan mendirikan gerai burger haram di luar kediaman Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan untuk menuntut kehilangan pendapatan yang dikatakan akibat perhimpunan Bersih 3.0.

Gerai haram mereka tidak diroboh oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (BKL) serta tiada tindakan dikenakakan. Para pemimpin UMNO-BN pula diam membisu, seolah-olah merelakan pencerobohan itu.

Mengutuk keras tindakan pencerobohan kawasan rumah tersebut, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, mempersoalkan kerajaan UMNO-BN sama ada keluruhan undang-undang di Malaysia telah digantikan dengan undang-undang rimba.

Menurutnya, pihak UMNO-BN dan DBKL telah merelakan Ambiga diganggu-gugat, diintimidasi dan dicabul ruang peribadi beliau.

“Adakah DBKL akan membenarkan protes yang sama dilakukan di luar rumah Menteri-Menteri atau Datuk Bandar Kuala Lumpur?” soal beliau.

Beliau berkata, perbuatan mengganggu-gugat, intimidasi dan pencabulan ruang peribadi tidak ada tempat di negara kita yang aman damai ini di mana rakyat Malaysia hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling hormat-menghormati.

Tindakan penyokong BN tersebut disifatkan oleh Ahli Parlimen Bagan itu sebagai kurang ajar kerana  Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam itu telah dicabul ruang peribadinya di samping beliau adalah seorang yang tidak memakan daging (vegetarian), di mana kumpulan yang memprotes itu sengaja memasak daging di hadapan rumahnya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, ruang peribadi beliau dan keluarganya juga turut dicabul oleh sekumpulan ahli Perkasa yang pro-UMNO meletakkan kalungan bunga di atas bingkai gambar beliau yang diletakkan di pintu pagar rumahnya bagi memberi amaran tentang “kematian” beliau.

“Apa yang jelas ialah kehadiran pihak polis yang tidak berbuat apa-apa dan tidak menghalang ahli-ahli Perkasa daripada menceroboh dan mencabul ruang peribadi keluarga saya,” katanya.

Menurutnya, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk membantah atau protes sebarang isu, dan DAP tetap berpegang kepada hak rakyat untuk berhimpun secara aman di tempat awam.

“Tetapi melakukannya dengan menceroboh ruang peribadi seseorang dan mencabul hak peribadi rumah keluarga, atau menuntut kematian seseorang adalah amat keji, kurang ajar dan bertentangan dengan rukun-rukun asas demokrasi,” tambah beliau. – Roketkini.com