Berita

DAP hormat pendirian PAS, hudud bukan dasar bersama Pakatan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: DAP menghormati pendirian PAS dalam soal hukum hudud, sebagaimana PAS menghormati matlamat DAP dalam memperjuangkan demokrasi, keadilan dan peluang saksama.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengulangi pendirian bahawa hukum hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa DAP berpandangan bahawa pelaksanaan hukum jenayah Islam tersebut tidak dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimana pun, DAP menghormati pandangan PAS atas isu tersebut, sebagaimana PAS menghormati prinsip perjuangan DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UMNO dan Barisan Nasional telah menolak pelaksanaan hudud. Beberapa pemimpin besar UMNO telah menggunakan alasan belum sampai masanya untuk melaksanakan hukum jenayah tersebut.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chu Soi Lek pula pernah mendakwa bahawa hudud adalah undang-undang purba yang akan membawa Malaysia ke belakang.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan bahawa Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pagi tadi telah membincangkan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, baru-baru ini tentang hukum hudud.

Media massa telah melaporkan Harun sebagai menyatakan bahawa PAS akan melaksanakan hudud dan meminda pindaan Perlembagaan Persekutuan jika menjadi kerajaan, walau pun ia mungkin membawa kepada pertukaran parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

“Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan para pemimpin PAS yang lain telah memberi jaminan kepada Majlis Pimpinan PR bahawa kepimpinan parti PAS menolak pandangan Harun kerana ianya tidak mencerminkan kedudukan PAS; ia adalah pandangan peribadi Harun,” tambah Kit Siang.

Justeru, katanya, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini menegaskan semula permuafakatan yang kukuh dan kata sepakat dalam perjanjian oleh tiga komponen parti iaitu PKR, PAS dan DAP, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum ke-13, yang termaktub dalam Dasar Bersama PR pada 19 Disember 2009, Buku Jingga pada 20 Disember 2010 dan Kenyataan Majlis Pimpinan PR pada 28 September 2011.

Sepertimana yang termaktub dalam Dasar Bersama PR yang telah diserap sebulat suara di Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam pada Disember 2009, Pakatan Rakyat komited untuk mendukung semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya dalam:

1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam sebagai agama Persekutuan di samping kebebasan untuk agama yang lain diamalkan dan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum-kaum lain berdasarkan peruntukan Perkara 153.

2. Mempertahankan peranan dan kebertanggungjawaban institusi Raja Berperlembagaan.

3. Mendukung penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berdasarkan Perkara  152 dalam Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan pengunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan (lingua franca) di samping mempertahankan dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda untuk semua kaum.

4. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang yang lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan pada masa yang sama mencadangkan pembatalan semua deklarasi darurat yang sedia ada.

5. Memansuhkan atau meminda semua undang-undang yang menindas dan menyalahi hak asasi manusia.

6. Menjamin semangat persekutuan (federalism) dan hubungan yang saksama dan adil antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak.

“Majlis Pimpinan PR hari ini juga menegaskan bahawa apa-apa perubahan kepada dasar-dasar PR yang telah dipersetujui secara muafakat mestilah melalui satu proses consensus (sebulat suara)  antara ketiga-tiga parti komponen PR,” tambah Kit Siang. – Roketkini.com