Rencana

Islam, Melayu dan DAP – Bahagian I – Oleh Izmil Amri

Soalan hubung kait Islam, Melayu dan DAP belum pernah berjaya menemui persetujuan dengan orde masyarakat, sejak awal penubuhan DAP sehingga kini di saat ia berjaya membentuk pakatan politik dengan parti yang langsung berbeda ide politiknya, khususnya PAS.

Pada wacana anjuran Roketkini.com pada 11 Mei lalu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sebagai seorang daripada panelis, menyebut bahawa permasalahan yang ditemui DAP sekarang sama dengan keadaan PAS suatu ketika dahulu. Baginya, jika DAP dituduh parti “Cina, komunis” dan bukan parti yang berbaik sangka dengan orang Melayu; PAS pula dituduh parti ekstremis Islam, dan tidak boleh masuk dengan masyarakat bukan Islam.

Kita tidak pernah hairan sebenarnya dengan keadaan ini. Kerana persepsi yang begini adalah hasil kejayaan propaganda United Malays National Organisation atau nama Melayunya yang tidak mahu digunakannya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Maka kita ucap tahniah kepada mereka.

Penipuannya mudah, hatta bagi seorang Melayu Islam masuk DAP itu seolah-olahnya sudah murtad dan meninggalkan segala yang suci bagi seorang yang Melayu Islam. Sepertinya sudah masuk Cina, sungguh pun tidak ada yang pernah tahu bagaimana caranya untuk ‘masuk Cina’. Momokan sedemikian, memang mudah ditelan masyarakat yang sedemikian lama disuap dengan penipuan dan fitnah yang dilazimi media milik UMNO.

“Melayu DAP”

Sekitar pilihan raya umum tahun 1995, frasa ‘Melayu DAP’ begitu bersepah disebut orang dan dimomok-momok di kampung saya di Pulau Pinang. Waktu itu seluruh keluarga begitu kuat menyokong UMNO. Walau pun pada waktu itu saya cuma di darjah 5, indoktrinasi UMNO itu berjaya juga menangkap imaginasi seorang anak kecil baru meningkat usia yang yakin dan percaya bahawa tanpa UMNO, ranaplah masa depan bangsa.

Malah fikir saya sekiranya Melayu itu sujud sembah pula kepada Cina DAP, makin gelaplah masa depan bangsa dan agama. Ustaz yang menyokong PAS juga tidak membantu pada waktu itu. PAS, sekitar 1995 masih lagi parti yang tidak boleh bertentang mata dengan DAP. Lalu dibasuhnya kepala otak kami di kelas agama dengan saranan bahawa kubur-kubur Cina di Mount Erskine sana sebenarnya tempat menyimpan senjata, buat persediaan jika berlaku kembali peristiwa 13 Mei. Masya’allah!

Ini menakutkan kami anak-anak sekolah rendah waktu itu. Maka Melayu DAP bagi saya adalah perkara yang tidak dapat diterima, walau apa alasan pun yang diberikan.

Nyata hari ini momokan begitu hanya berfungsi kepada mentaliti sekolah rendah. Dan PAS sudah tidak lagi jenuh bertemu muka dengan DAP malah kini boleh makan dalam talam yang sama di ceruk-ceruk masjid. Ini sesuatu yang tidak akan sama sekali dapat difahami oleh UMNO. Malang sekali.

Sebenarnya apa yang tidak difahami UMNO ini boleh ditulis dalam beberapa jilid buku. Bukan kerana UMNO ini bodoh, tetapi kerana ia degil. Sifat kepala batu dalam UMNO ini yang menyebabkan ia menjadi sombong meski tidak cerdik, dan keadaan itu tidak dapat dibantu oleh sesiapapun selagi ia tidak dengan sendirinya menggunakan akal fikir untuk mempersoal dan bertanya tentang segala yang tidak difahaminya.

Apa sebenarnya DAP itu?

DAP, singkatan nama Democratic Action Party atau Parti Tindakan Demokratik, sebagai sebuah parti politik adalah ibarat sebuah syarikat yang menawarkan khidmat pengurusan dan penggubalan dasar. Sokongan mahu pun keahlian mana-mana Melayu kepada DAP tidak bermakna Melayu itu telah khianat kepada nilai-nilai keMelayuan.

Malah sebenarnya Melayu yang meninggalkan atau tidak mahu menerima UMNO lah yang telah mengangkat martabat dirinya sebagai seorang Melayu yang menjauhkan diri daripada kelompok manusia yang mempergunakan kepercayaan anak bangsa bagi tujuan mengaut kekayaan dan laba selama bertahun-tahun lamanya dengan cara putar belit, manipulasi dan tipu daya.

Malah Melayu yang meninggalkan UMNO untuk bersama DAP adalah Melayu yang sewajarnya mengucap tahniah kepada diri sendiri kerana telah berjaya memecahkan acuan konkrit yang dipaksakan ke atas akalnya seperti sebuah helmet yang sekian lama telah bikin hati nurani, kapasiti intelek dan kesedaran politiknya bungkam.

Realitinya memang politik Malaysia ini beku dalam permasalahan dan persoalan etnik, puak dan agama berbanding dasar dan isu kebijakan pentadbiran. Selagi mana politik Malaysia tidak melarikan diri daripada rantai besi soal perkauman ini, selagi itu negara ini akan terpecah-pecah tanpa menemukan satu kesepakatan atau nilai dan isu yang dikongsi bersama agar dapat diselesaikan secara baik, tanpa permainan emosi etnosentrik mahupun kepercayaan tentang Tuhan siapa lebih benar dan agama siapa lebih baik.

Salah faham ideologi

DAP, menurut Wan Saiful Wan Jan, pemikir untuk Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) yang juga hadir sebagai panelis wacana tempoh hari, adalah parti politik yang sedikit terkedepan, apabila seawal 1965 mengetengahkan dasar-dasar pentadbiran yang manusiawi, berbanding UMNO pada waktu itu yang masih galak menjaja isu kaum dan agama.

Demikian kata Wan Saiful memuji DAP yang disalah erti sebagai parti berfahaman komunis ini, kerana mengorak langkah untuk menawarkan ide baru dalam pentadbiran dan bukan setakat menjaja kemandirian kaum tertentu.

Menyebut tentang fahaman dan komunisme ini juga menarik, memandangkan ramai yang begitu keliru dengan pendirian dan ideologi parti DAP.  Barangkali ramai yang tidak tahu bahawa DAP ini sebenarnya sebuah parti yang berideologi demokrasi sosial dan berkedudukan tengah-kiri pada spektrum politik.

Salah anggap begini begitu hebat sehinggakan mereka yang menyangka lebih tahu akan ideologi DAP turut tersasul hatta mengatakan bahawa DAP ini “parti sosialis yang bertindak secara kapitalis”. Ini kelakar. Mungkin perlu dikaji semula sukatan pendidikan tinggi negara kita.

Siapa komunis, siapa bukan?

Setelah selesai wacana tempoh hari, saya ambil masa sebentar untuk bersembang-sembang dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang ketawa besar pada setiap tuduhan pro-komunis terhadap DAP. Menurutnya, dari segi ideologi, malah akademiknya, komunis, sosialis dan demokrat-sosial itu sebenarnya adalah maqam-maqam berbeza pada satah spektrum politik yang nyatanya tidak difahami oleh orang awam.

Beliau menyebut kisah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang ditertawakan oleh simpatisan komunis semasa berada dalam tahanan ISA, kerana Kit Siang mempercayai sistem demokrasi berparlimen. Nah, komunis tidak iktiraf DAP sebagai komunis!

Ideologi dan isme-isme zaman lampau telah jauh berevolusi setelah lebih sedekad di alaf baru. Faham-faham ini telah beramalgamasi dan membentuk faham-faham baru yang lebih mudah lentur mengikut keperluan sosio-ekonomi semasa.

Maka adalah salah untuk melabel DAP ini sebagai sebuah parti pro komunis dan anti agama, apatah lagi menuduhnya ejen Singapura. Itu juga tuduhan kelakar yang menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Maszlee Malik, juga seorang panelis wacana tempoh hari, adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Katanya andai DAP masuk ke Singapura hari ini, pastilah ia akan menjadi parti pembangkang menentang dasar-dasar kerajaan PAP di Singapura; “menggantikan Workers’ Party yang lesu”. Ini pujian yang hebat, kerana bagi saya Workers’ Party bukanlah calang-calang lawan kepada PAP, tapi itu cerita lain. – Roketkini.com

Ikuti Bahagian II – Perubahan, Aqidah dan Inqilabiyah