Berita

Pemimpin BN biarkan kuil Hindu di Pulau Pinang diroboh tanpa notis

GEORGE TOWN, 14 MEI: Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) Pulau Pinang menolak dengan keras perobohan kuil Hindu Sri Muniswaran oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) pada 20 April lalu di Kawasan Perindustrian Prai tanpa sebarang pemberitahuan ditampal di kuil tersebut.

Menurut kenyataan Pengerusi MCCBCHST Pulau Pinang, Bishop Antony Selvanayagam, perobohan kuil Hindu yang berusia 40 tahun tanpa pemberitahuan itu telah menyinggung perasaan masyarakat Hindu dan tidak menghormati hak asasi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu kebebasan untuk beragama.

“Untuk meredakan perasaan masyarakat hindu, kita menyeru agar pengerusi PPSB Datuk Seri Dr Hilmi bin Hj Yahaya dan Pengerusi Penang Port Commission (PPC) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta maaf secara penuh dan tanpa syarat kepada masyarakat Hindu dan membina semula kuil di kawasan tersebut,” katanya.

Dr Hilmi adalah Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau manakala Dr Chua adalah Presiden MCA.

Bishop Anthony turut menyatakan perasaan bimbang bahawa sehingga sekarang bukan sahaja tidak ada permohonan maaf daripada Dr Hilmi dan Dr Chua tetapi tidak ada juga usaha untuk membina semula kuil tersebut.

Menurutnya lagi, MCBCHST Pulau Pinang atau Hindu Sangam Pulau Pinang sanggup menjadi pengantara kedua-dua ahli politik Barisan Nasional itu menyelesaikan isu tersebut.

Dalam perkara berkaitan, MCCBCHST Pulau Pinang turut mengecam penyalahgunaan upacara pengebumian Hindu yang telah dilakukan oleh kumpulan pelampau Perkasa terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di depan rumahnya pada 10 Mei lalu.

“Mungkin Perkasa mempunyai banyak rungutan terhadap Lim dan ingin menyerangnya secara politik. Namun begitu, tidak ada satu agama pun yang membenarkan penyalahgunaan upacara agama untuk mengucapkan kematian seseorang.

“Tindakan Perkasa untuk menyalahgunakan upacara pengebumian Hindu terhadap Ketua Menteri di rumah peribadinya, dengan kehadiran anggota-anggota keluarganya di dalam rumah, adalah amat tidak sesuai dan biadap terhadap agama Hindu, terutamanya apabila mereka sendiri bukan Hindu,” ujarnya. – Roketkini.com