Berita

UMNO dicabar buktikan orang Melayu dipinggirkan di Pulau Pinang

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Beranikah para pemimpin UMNO mendedahkan statistik dan fakta serta jumlah orang Melayu yang kononnya dikatakan terpinggir di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sejak Mac 2008 hingga sekarang?

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengemukakan cabaran itu khususnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kerana telah membuat kenyataan tidak masuk akal bahawa Malaysia akan kembali menjadi Melaka pada tahun 1511 jika Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bolehkah Tan Sri Nor menyenaraikan program-program yang telah dilaksanakan oleh mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang telah dibatalkan oleh kerajaan negeri PR?

“Sekiranya Tan Sri Nor gagal untuk membuat demikian maka beliau tidak berbeza dengan Perkasa kerana menggunakan taktik umpan-perkauman dan taktik menakutkan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, hakikatnya bukan sahaja bantuan kebajikan diteruskan, malah kerajaan negeri PR telah meningkatkannya kepada tahap yang tidak pernah dicapai oleh kerajaan negeri BN selama 50 tahun.

Antara kejayaan kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang dalam masa empat tahun sahaja adalah:

* Membelanjakan lebih RM50 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan dan meningkatkan bantuan kewangan daripada RM100 setiap tahun untuk warga emas, OKU, ibu tunggal serta pelajar-pelajar Tahun 1 & 4, dan Tingkatan 1 & 4;

* Memberi pinjaman mikro-kredit kepada golongan miskin dan ibu tunggal, serta bayaran RM1,000 sekali sahaja untuk waris warga emas dan pelajar-pelajar daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 yang berjaya diterima IPTA serta RM200 untuk setiap bayi baru lahir;

* Membasmi miskin tegar dalam masa satu tahun sahaja, di mana BN telah gagal selama 50 tahun, dengan memastikan bahawa setiap isi rumah mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan. Menjelang 2015, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan sama sekali;

* Memperkenalkan tender terbuka (yang didakwa oleh UMNO kononnya akan meminggirkan kontraktor Melayu) berdasarkan faktor-faktor harga paling baik, kualiti dan pengurusan di mana 70% daripada kontrak telah dimenangi kontraktor Melayu. Ini adalah kejayaan besar jika dibandingkan dengan 100% sistem BN yang diberi kepada kroni UMNO sahaja kerana dari segi nilai, kontraktor-kontraktor Melayu yang tulen telah bermanfaat jika dibandingkan dengan kerajaan dahulu; dan

* Meningkatkan perbelanjaan untuk program-program sosial dan infrastruktur sebanyak 55% daripada RM1,387 juta selama 4 tahun 2004-2007 kepada RM2,142 juta di bawah pentadbiran PR selama 4 tahun dari 2008-2011.

“Sebagai contoh, peruntukan negeri Pulau Pinang untuk projek jalan raya, di mana hampir 100% telah dimenangi oleh kontraktor Melayu, telah ditingkatkan daripada RM10.25 juta pada tahun 2007 kepada RM42.6 juta pada tahun 2012.

“Pada tahun 2012, peruntukan paling besar dalam sejarah Pulau Pinang untuk hal-ehwal agama Islam iaitu RM64 juta telah diluluskan,” jelas Guan Eng.

Menurutnya, dengan bermain emosi dan sentimen serta mengabaikan fakta dan logik,  Nor Yakcop selaku pemimpin UMNO menunjukkan bahawa pemikiran beliau tidak ada bezanya dengan mentaliti perkauman Perkasa.

Katanya, pihak berkuasa dan kerajaan pusat BN telah membiarkan ahli-ahli Perkasa memukul dan mencederakan wartawan, bukan sekali tetapi dua kali, di Jambatan Pulau Pinang pada bulan Julai 2011 dan pada 26 Februari 2012 semasa perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota Lama.

“Tiada tindakan telah diambil ke atas ahli-ahli Perkasa dan UMNO yang ganas. Pada 10 Mei 2012, Perkasa telah dibenarkan oleh polis untuk melakukan upacara pengebumian Hindu di depan pintu rumah saya di Pulau Pinang,” ujarnya.

Menurutnya, cara Nor Yakcop menggunakan tahun 1511 untuk menyokong dakwaan palsunya bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai kebolehan untuk menerajui agenda Bumiputera adalah tidak munasabah.

“Perbandingan ini adalah salah kerana Portugis merupakan kuasa asing manakala pilihan raya umum ke-13 akan ditentukan oleh rakyat Malaysia.

“Ironinya, sepatutnya PR yang menuduh BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya atas kehadiran pengundi hantu yang diragui, termasuk warga asing yang didaftarkan sebagai pemilih, yang berupaya untuk memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya yang akan datang,” tambah beliau.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, adalah jelas bahawa sekiranya BN mengekalkan kuasa dalam PRU akan datang, “hitam akan menjadi putih dan putih akan menjadi hitam” seperti yang ditunjukkan oleh media kawalan BN seperti New Straits Times dan lidah rasmi UMNO yang menyamar sebagai akhbar harian, Utusan Malaysia, yang terpaksa meminta maaf kerana menyiarkan berita palsu.

Dengan menggunakan agenda perkauman dalam PRU akan datang, beliau berkata, Nor Yakcop dan UMNO telah memberi isyarat yang kuat bahawa mereka tidak mempedulikan pengundi bukan Melayu.

Beliau menambah, jika UMNO terus dengan pendekatan perkauman dan ketuanan Melayu, maka ia akan menandakan berakhirnya demokrasi, harmoni kepelbagaian kaum dan budaya serta konsep 1Malaysia. – Roketkini.com