Berita

Kad pengenalan merah: Kaum India masih dianaktirikan oleh BN

BATU GAJAH, 15 MEI: Walau pun negara sudah 54 tahun merdeka, kerajaan Barisan Nasional masih menganaktirikan sebahagian masyarakat India kerana masih gagal untuk menyelesaikan masalah kad pengenalan merah.

Kad pengenalan merah adalah untuk pemastautin tetap. Warganegara Malaysia memiliki kad pengenalan biru, namun masih ramai rakyat Malaysia dari kalangan kaum India yang lahir di negara ini masih memegang kad merah.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak V.Sivakumar, sebahagian besar atau hampir kesemua yang memiliki kad pengenalan merah ini adalah dari kalangan kaum India dan ia adalah satu masalah yang serius.

“Saya tidak pernah mendengar masalah kad pengenalan merah dari kalangan kaum Melayu dan jarang sekali kita bertemu dengan orang-orang Cina yang masih memegang kad pengenalan merah,” katanya.

Beliau yang juga Adun Tronoh mempersoalkan sikap kerajaan yang tidak prihatin terhadap kebajikan orang-orang India.

“Mereka tidak mempedulikan masyarakat India yang berbakti dan berjasa dalam pembangunan dan kemajuan negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, walau pun masyarakat India pernah menjadi pengundi setia kepada BN sehingga pilihan raya umum ke-11 (2004), “budi” mereka dibalas oleh kerajaan BN dengan tidak mempedulikan masalah yang mereka alami. Justeru, masyarakat India telah “menghukum” BN dalam PRU ke-12 pada 2008 kerana sudah tidak tahan dengan sikap BN yang hanya melepaskan batuk di tangga.

“Terdapat banyak kes di mana walau pun permohonan kad pengenalan biru  dibuat berulang kali, ia i ditolak oleh kerajaan dengan pelbagai alasan,” tambah Sivakumar.

Beliau mempersoalkan program seperti Mydaftar dan sebagainya dilaksanakan untuk menutup kesilapan kerajaan selama ini.

“Tetapi, apakah hasilnya? Berapa ribukah  orang India yang memohon itu sudah berjaya mendapat kad pengenalan biru? Benarkah program Mydaftar yang dianjurkan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan masalah kad pengenalan merah di negara kita?” katanya.

Pada masa yang sama, Sivakumar menzahirkan rasa sedih kerana hanya apabila golongan masyarakat India tersebut sudah terlalu tua, barulah kad pengenalan biru diberikan kepada mereka.

“Mereka telah hilang usia muda yang produktif dengan memegang kad pengenalan merah. Mereka hidup di negara ini sebagai pendatang walau pun mereka lahir di sini.

“Mereka tidak dapat kerja yang baik, tidak ada caruman KWSP dan Socso. Mereka tidak boleh memiliki harta. Mereka hilang hak untuk mendapat rawatan percuma di hospital. Mereka juga tidak pernah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” tambahnya. – Roketkini.com