Berita

Tunku Aziz umum keluar parti, DAP mahu beliau kekal Naib Pengerusi

GEORGE TOWN, 15 MEI: Walau pun Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim secara terbuka mengkritik DAP, Pakatan Rakyat dan perhimpunan Bersih 3.0 serta mengumumkan keluar parti, kepimpinan DAP tetap menghargai peranannya serta mahu beliau terus kekal bersama parti.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, beliau mahu menyelesaikan perbezaan pendapat di dalam parti atas semangat setiakawan.

“Saya akan hubungi Tunku untuk bertemu dan berbincang dengan beliau, dan berharap beliau dapat mengubah fikirannya untuk meninggalkan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau sedih dengan pengumuman yang dibuat oleh Tunku Aziz dalam satu rancangan televisyen NTV7, satu daripada media massa kawalan Barisan Nasional, malam tadi.

Katanya, DAP percaya kepada kebebasan bersuara dan setiap ahli serta pemimpin mempunyai hak untuk berbeza pendapat.

“Saya tidak bersetuju bahawa tindakan disiplin harus diambil terhadap Tunku semata-mata kerana berbeza pendapat dengan parti dalam isu hak Bersih untuk mengadakan duduk-dan-bantah di Dataran Merdeka.

“Memang ada rasa tidak gembira di semua peringkat dalam parti kerana beliau (Tunku) telah melanggar pendirian rasmi parti terhadap Bersih sebelum dan selepas perhimpunan diadakan pada 28 April.

“Bagaimana pun, seperti mana Tunku mempunyai hak untuk menyuarakan bantahan beliau secara terbuka, hak parti untuk menyuarakan pendiriannya dalam isu penting seperti Bersih perlu juga dihormati,” ujarnya.

Beliau menambah, DAP tidak menghukum Tunku Aziz kerana menyuarakan bantahannya secara terbuka, malah tidak pernah meminta beliau meletak jawatan atau keluar parti.

Dalam rancangan TV malam tadi, Tunku Aziz menjelaskan bahawa perbezaan pandangannya dengan DAP membuatkan beliau sendiri tidak mahu dilantik semula sebagai Senator yang mewakili Pulau Pinang apabila tempohnya tamat pada 30 Mei ini.

Tunku Aziz juga menjelaskan bahawa DAP tidak memecat beliau daripada jawatannya di Dewan Negara.

Malah, beliau mahu DAP mengenakan prosedur tindakan disiplin sebagaimana yang dikenakan kepada mana-mana ahli kerana tindakannya itu. Namun, kerana DAP enggan mengambil tindakan disiplin, Tunku Aziz telah membuat keputusan untuk keluar daripada DAP bagi “mengelakkan malu”.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, ruang dalam DAP adalah cukup luas untuk Tunku Aziz terus kekal sebagai Naib Pengerusi, malah parti dapat menampung apa yang Tunku Aziz katakan sebagai “perbezaan pendapat yang ketara” tentang Bersih.

“Saya merasa sedih kerana Tunku mahu meninggalkan parti hanya kerana berbeza pendapat tentang Bersih. Sedangkan Tunku menyertai DAP kerana DAP menawarkan platform untuk beliau menggalakkan integriti dan usaha melawan korupsi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kejayaan DAP sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang selepas memenangi pilihan raya 2008 membuktikan parti itu memang “cakap serupa bikin” dalam usaha menggalakkan integriti dan menentang rasuah.

“Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah menjadi perintis perntadbiran bersih dengan melaksanakan tender terbuka, mendedahkan kontrak-kontrak kerajaan kepada umum, dan mengisytiharkan asset para pemimpin negeri.

“Bukan sahaja Transparency International dan Laporan Ketua Audit Negara telah memuji prestasi kewangan Pulau Pinang, malah bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik juga memuji kerajaan Pakatan Pulau Pinang kerana berjaya mentadbir dengan baik serta membebaskan pentadbiran daripada rasuah,” tambah beliau. – Roketkini.com