Berita

DAP kecewa pihak berkuasa biar samseng pro-BN ganggu, ugut Ambiga

BUKIT MERTAJAM, 17 MEI: DAP kecewa dengan sikap polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memihak kepada sekumpulan demonstran pro-Barisan Nasional yang berkumpul beramai-ramai untuk menunjukkan punggung mereka di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata, rakyat merasa jijik dengan perbuatan kumpulan yang tidak mahu kepada pilihan raya bersih, adil dan bebas itu tanpa dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa walau pun mereka telah melanggar ruang peribadi serta melakukan kacau ganggu di depan rumah peribadi.

Katanya, perbuatan menunjukkan punggung itu melalui kaedah senaman adalah intimidasi kali kedua yang dilakukan selepas sebuah gerai menjual burger didirikan secara haram tanpa diambil tindakan oleh DBKL pada 10 Mei lalu.

“Sementara DAP menyokong penuh kebebasan berhimpun dan kebebasan berekspresi, kami mengutuk kumpulan-kumpulan yang mengadakan protes di depan rumah keluarga orang kerana ia adalah pelanggaran ruang privasi serta perbuatan kacau ganggu.

“Ia sengaja dilakukan oleh kumpulan pro-BN dan anti-Bersih untuk mengganggu-gugat Datuk Ambiga dan keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pihak berkuasa enggan berbuat apa-apa terhadap perbuatan intimidasi dan bersifat ugutan tersebut sedangkan mereka bertindak ganas terhadap rakyat Malaysia yang menuntut pilihan raya adil, bebas dan bersih sewaktu perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Beliau mengulangi pendirian DAP untuk terus menyokong semua tuntutan Bersih untuk pilihan raya yang lebih adil dan bebas yang dipimpin oleh Ambiga dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Lapan tuntutan Bersih (kecuali dakwat kekal) yang masih tidak dipedulikan oleh kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah:

1.      Bersihkan senarai undi
2.      Reformasikan undi pos
3.      Gunakan dakwat kekal
4.      Akses media yang bebas dan adil
5.      Tempoh kempen minima 21 hari
6.      Kukuhkan institusi awam
7.      Hentikan rasuah
8.      Hentikan politik kotor

Menurut Chong Eng lagi, daripada bersikap anti-Bersih dan tidak pedulikan hasrat rakyat Malaysia yang mahukan pilihan raya bersih dengan membiarkan politik samseng, Najib sepatutnya mengambil kesempatan untuk membuktikan sikap sederhana beliau dengan melaksanakan reformasi pilihan raya yang tulen.

Jika tidak, katanya, politik samseng dan kurang ajar yang sedang dilakukan oleh demonstran pro-BN itu hanya membuktikan kesederhaan Najib adalah satu pembohongan semata-mata. – Roketkini.com