Berita

BERSIH 3.0: Siasatan belum bermula, Anwar sudah didakwa di mahkamah

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Panel siasatan “bebas” mengenai perhimpunan Bersih 3.0 yang diketuai oleh Tun Hanif Omar yang secara terbuka menuduh perhimpunan tersebut diresapi komunis dan berniat menggulingkan kerajaan, belum pun memulakan mesyuarat untuk menyediakan terma-terma rujukan siasatan.

Namun, hari ini Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shaharin telah pun dihadapkan ke mahkamah hari ini berhubung isu perhimpunan tersebut.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ia adalah satu langkah tidak bijak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana membelakangkan keadilan.

Menurutnya, siasatan yang bebas, saksama dan komprehensif perlu menjelaskan, membuktikan dan memberi jawapan terlebih dahulu kepada persoalan-persoalan penting sebelum sesiapa pun dihadapkan ke mahkamah.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau berkata, siasatan yang menyeluruh dan adil perlu menjelaskan:

1. Adakah benar wujud satu percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan dalam Bersih 3.0?

2. Mengapa pihak polis seakan-akan mengamuk dan menggunakan kekerasan yang melampau, sama ada dengan gas pemedih mata, semburan air yang bercampur bahan kimia atau keganasan fizikal terhadap peserta perhimpunan aman ini selepas jam 3 petang yang telah berlanjutan selama 5 jam pada hari tersebut?

3. Bagi yang telah merempuh sekatan yang didirikan, mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sahaja? Mengapa pihak polis bertindak untuk menghukum dengan kekerasan dan keganasan terhadap majoriti takyat yang telah berhimpun secara aman dan yang ingin bersurai secara aman?

4. Mengapa ada polis yang bertugas tanpa tag nama atau nombor pengenalan?

5. Mengapa wakil media menjadi sasaran pihak polis dan mengapa mereka diserang di mana peralatan kamera mereka dipecah dan kad memori kamera mereka dirampas?

6. Mengapa ada antara beberapa stesyen LRT telah diarahkan untuk tutup selepas gas pemedih mata atau semburan air bermula? Adakah pihak polis berniat untuk membantu peserta bersurai atau sebagai satu “perangkap” untuk terhadap rakyat jelata yang berhimpun  pada hari tersebut?

7. Adakah benar transmisi telefon bimbit sengaja disekat supaya apa-apa komunikasi dihalang yang akan menyebabkan lebih kekeliruan dalam keadaan yang sudah pun pada masa yang genting itu?

8. Siapa dari pihak polis atau dari Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab memberi kebenaran untuk mencabul hak asasi manusia dan tidak menghiraukan prinsip dan garis panduan dalam penggunanan kekerasan dan senjata api oleh polis? – Roketkini.com