Rencana

DAP kecil cili padi – Oleh Iza Suraiya

Mengimbau kembali sejenak penubuhan DAP yang sudah 46 tahun menjadi sebuah parti pembangkang nasional di Malaysia, kehadirannya masih disambut baik oleh banyak pihak.

Walau pun masih ramai, terutamanya mereka yang mudah menelan propaganda UMNo-Barisan Nasional, menyangka parti ini sebuah parti cauvinis Cina atau komunis, semakin ramai pula yang sudah menyedari fitnah yang telah lama ditaburkan itu.

Ramai yang tidak menyedari dan seakan lupa semua ini adalah salah satu permainan politik yang cuba dimainkan oleh UMNO-BN, kerana rakyat kini sudah pandai menilai dan berfikir dan tidak lagi mahu membiarkan diri mereka terus di jajah pemikiran oleh golongan seperti UMNO-BN.

Dasar yang “Malaysian Malaysia” atau Malaysia untuk rakyat Malaysia sebenarnya telah menjadi perkara yang relevan di Malaysia kini. Hal ini memaksa UMNO-BN untuk akur dengan slogan ini, lantas dengan menggunakan dasar yang hampir sama dan akhirnya mereka memilih untuk memperkenalkan slogan 1Malaysia.

Kecil itu molek

Ramai yang kurang sedar, walau pun DAP adalah sebuah komuniti parti yang kecil, komitmen yang diberikan oleh setiap ahli menjadikan ia sentiasa relevan dan kosisten menegakkan prinsip dan ideologi parti.

Apa yang DAP perjuangkan hanyalah keadilan, peluang saksama dan hak asasi yang digubalkan dalam kerangka demokrasi sosial. Segala nilai murni agama dan akhlak masyarakat sudah terkandung dalam prinsip perjuangan DAP.

Sebenarnya itulah kekuatan yang menyebabkan parti ini masih bertapak di Malaysia walau ditohmah dan dimomok UMNO-BN. Malah bukan setakat fitnah, ramai pemimpin DAP terpaksa merengkok dalam tahanan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim kerajaan UMNO-BN, serta dikenakan pelbagai tuduhan yang membawa ke mahkamah.

Namun, walau saiz parti yang kecil molek, DAP lantang dan tegas menegakkan ideologi dan manifestasi perjuangan yang telah dirangkakan. Contohnya, DAP menekan dasar kesaksamaan sosial dan keadilan untuk semua tanpa mengira gender, agama dan kaum.

Maka itulah sebab UMNO-BN takut…

Hakikatnya inilah sebenarnya yang menakutkan UMNO-BN. Persona dan rasa yang wujud dalam DAP, begitu juga parti-parti komponen yang lain dalam Pakatan Rakyat, menyebabkan mereka sentiasa menjadi perhatian pelbagai pihak.

Apabila kesepakatan ini berlaku, sebenarnya membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk pelbagai golongan membuat keputusan dalam memilih sistem pentadbiran yang selayaknya untuk memerintah.

Kelangsungan dari hal itu, UMNO-BN tidak mampu lagi untuk membiarkan kerana ianya akan lebih membuka peluang untuk kehilangan kepercayaan dan pengaruh untuk akhirnya akan menjatuhkan mereka pada pilihan raya yang akan datang.

Dan bukan DAP atau Pakatan yang akan menjatuhkan UMNO-BN, kerana yang hanya mampu berbuat demikian adalah para pengundi Malaysia yang sudah jelak dengan permainan kotor pemerintah yang semakin terpisah dari rakyat.

…dan DAP bakal dihormati

Sehingga hari ini masih tidak ada isu-isu yang berjaya menjatuhkan kepimpinan DAP. Yang ada cuma penerusan fitnah kononnya DAP sebagai “parti Cina” yang menjadi penyebab rusuhan kaum 13 Mei 1969. Yang ada cuma penafian faktor-faktor lain pada masa itu seperti peranan UMNO, Gerakan dan kumpulan-kumpulan komunis sebenar yang sememangnya benci kepada DAP.

Adakah smeua faktor ini dibincangkan secara bernas dan waras dalam wacana, dialog atau forum? Tentunya tidak kerana ia akan menelanjangkan segala pembohongan UMNo-BN.

DAP yang kecil cili padi ini mungkin akan menjadi parti yang benar-benar dihormati apabila (tanpa kawalan media oleh UMNO-BN) umum menyedari parti ini membawakan demokrasi sosial yang berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan 1957.

Malah, pendirian sekular dalam demokrasi perjuangan DAP juga berdasarkan kepada Perlembagaan, yakni hanya sekular dalam pentadbiran untuk memastikan agama atau kaum tidak digunakan sebagai kayu ukuran untuk manipulasi politik atau kelayakan mendapat hak dan peluang. Sekularnya bukan satu ideologi sekularisme atau bersifat anti-agama.

Namun, masih ada orang yang percaya dengan tohmahan terhadap DAP kerana UMNO-BN masih membawakan fitnah ini dengan menjadikan media cetak dan media elektronik sebagai alat perkakas mereka untuk melemahkan fikiran rakyat, khasnya orang Melayu yang terpengaruh dengan dakyah karut ini.

Kita sebagai rakyat sudah seharusnya tahu untuk berfikir dan bukan membiarkan orang lain membuat keputusan untuk diri kita.

Kita perlu istiqomah dan berfikir secara rasional dan relevan tentang mengapa dan apa yang kita mahukan sebagai rakyat yang inginkan sebuah negara demokrasi dalam semua hal, termasuk menuntut urus tadbir pentadbiran yang bersih, beramanah, cekap, telus dan adil. – Roketkini.com