Rencana

SosDem: Kenapa perlu takut? Oleh Izmil Amri

Parti Sosialis Perancis telah mewakilkan Setiausaha Agungnya, François Hollande, untuk bertanding merebut kerusi Presiden negara republik itu, menentang penyandang Nicolas Sarkozy.  Hollande berhasil memperolehi 49% undi, mengalahkan Sarkozy dan telah pun mengangkat sumpah sebagai Presiden negara Menara Eiffel itu. Hollande adalah presiden sosialis kedua dalam sejarah Perancis selepas Fançois Mitterand.

Seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti socialiste (PS) pimpinan Hollande juga adalah berkedudukan tengah-kiri dalam spektrum politik dan berideologi sosial demokrasi yang kadang-kadang dikenali dengan singkatan nama SosDem.

Kedua-dua DAP dan PS merupakan ahli rangkaian pertubuhan politik cenderung kiri antarabangsa, Socialist International. Media turut melaporkan kerajaan baru Perancis ini sebagai kerajaan haluan kiri, atau lebih ngeri lagi, kerajaan parti sayap kiri.

Kiri

Sewaktu saya kecil dahulu, arwah Tok Abah saya akan memaksa saya menonton berita Dunia Jam 10 di RTM 1. Kalau saya masih berjaga melepasi waktu tidur, itulah sahaja pilihan yang ada di kaca TV. “Kena ambik tau apa dok jadi dalam dunia ni,” katanya, sambil memaksa apa-apa cerita kartun yang sedang saya tonton dihentikan kerana  “Tok Abah nak tengok berita”.

Berita Dunia Jam 10 pada waktu itu memaparkan laporan antarabangsa ala CNN dalam Bahasa Malaysia. Awal 1990-an, tidak ada berita lain yang lebih popular selain Perang Teluk, tunjuk perasaan Palestin dan penentangan sayap kiri mana-mana negara yang sedang berhadapan konflik.

Sejak kecil, Dunia Jam 10 telah mencacah kepala otak saya dengan ide bahawa yang namanya kiri itu adalah segala yang jahat dan punya kecenderungan bersekongkol dengan syaitan. Ditambah dengan pesan arwah Tok Abah; “Makan kena guna tangan kanan. Tangan kiri tangan basuh punggung.” Maka waktu itu, kiri adalah jahat, zalim, keji, cela, nista, berontak, ganas, komunis, potong kepala, cabut kuku dan segala yang membuatkan seorang anak kecil tidak lena tidur malam.

Orang Melayu memang dibiasakan dengan indoktrinasi membenci segala yang kiri seperti mana saya diindoktrinasikan. Itu ditambah dengan semangat bertanya dan ingin tahu ilmu duniawi orang Melayu yang rendah, tidak ramai pula yang mahu bertanya apa yang sebenarnya yang dilawan orang-orang kiri dan apakah pula yang kanan itu baik murni suci hati belaka.

Kita harus terlebih dahulu memahami bahawa kedudukan kiri kanan ini ditentukan oleh dasar-dasar ekonomi dan sosial. Secara mudahnya, jika pemodal duduk pada sebelah kanan garis pemisah, maka yang menolak monopoli dan kuasa pemodal lantas berada di sebelah kiri. Semakin jauh ke kiri, semakin ekstrimlah pendekatannya menentang golongan yang berada di bahagian kanan. Yang di kanan ini pula selalunya terdiri daripada puak konservatif, ada juga yang rasis dan mementingkan wang.

Justeru yang duduk di sebelah kiri adalah golongan yang sepatutnya menolak pengumpulan harta benda dan pemusatan kekayaan. Maka melihat tindakan François Hollande yang dengan ranggi sekali memotong gaji kabinetnya sebanyak 30% sejurus mengambil alih kuasa di Paris memperlihatkan bahawa kebijakan golongan kiri ini sebenarnya adalah lebih manusiawi.

Kiri-tengah

DAP, sama seperti PS, berada di kedudukan kiri-tengah. Tidak terlalu kiri, namun tidak mula betul-betul pertengahan. Namun pastinya beribu batu jauhnya daripada manipulasi kaum pemodal dan kelompok pengamal politik etnosentrik.

Tentunya ia bukan komunis atau radikal kiri yang menolak sama sekali kewujudan amalan perniagaan dan keusahawanan. Yang penting sosial demokrasi bertunjangkan keadilan sosial, hak saksama dan solidariti.

Warna-warna kiri-tengah itu bermacam-macam; ada yang lembut pada ekonomi pasaran, ada yang berat kepada negara kebajikan – semuanya menjurus kepada kemaslahatan manusiawi.

Langkah kiri

Kefahaman tentang ideologi sosial demokrasi ini tidak mungkin difahami jika mentaliti dibiarkan tepu dalam pembodohan United Malays National Organisation. Sudahlah terbiar dibodohkan, mahu membaca jauh sekali. Akhirnya takut dan risau kehilangan kuasa, takut murtad dan takut segala-galanya yang mungkin lahir daripada sebuah parti politik sosial demokrat.

Ini tiada lain bahkan sama sebiji macam anak kecil yang percaya ada hantu di bawah katilnya. Tidak berani mahu suluh saja lampu ke bawah katil dan jerit ‘boo!’ supaya si hantu, kalau ada; akan terkejut dan berlalu pergi.

Tetapi pemimpin UMNO dan para pecacai mereka ini lebih lemah akalnya berbanding budak kecil. Mahu diajak berdebat, lari. Mahu diajak wacana, segan. Sudah wacana, dihidangkan video pendek, tidak pula sudi mahu menonton. Ada rencana, tak mahu baca.

Hanya tahu kutuk, keji, caci maki membuta tuli. Demikian bodoh dan sombongnya parti etnosentrik pemerintah ini yang sudah lebih setengah abad menuntun tangan pengikutnya dalam gelap politik tiada berpencerahan. Budaya politik UMNO yang begini mesti diubah, sebelum parti tua itu hilang tanpa kesan dalam pilihan raya umum akan datang.

Jika terus degil, maka UMNO perlu sedia dengan langkah kiri kerana rakyat sudah bosan dengan mereka yang masih rakus dengan perkauman dan manipulasi agama. – Roketkini.com